Archive for the ‘Education Ministry: Speeches.’ Category

Menteri Pelajaran Malaysia di Majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi 2010.

Wednesday, February 3rd, 2010
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN HJ. MOHD. YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
MERANGKAP
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PENGIKTIRAFAN
SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI TAHUN 2010
PADA 29 JANUARI 2010; PUKUL 9.00 PAGI;
DI SEKOLAH MENENGAH AMINUDDIN BAKI,
KUALA LUMPUR

1.       Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin dan kurniaNya, kita dapat bersama-sama dalam Majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi bagi Tahun 2010. Saya terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada kumpulan pertama 20 buah sekolah yang telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini. Pengiktirafan ini adalah kejayaan sulung Kementerian Pelajaran dalam mencapai sasaran melahirkan 100 buah Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang tahun 2012 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan.

Transformasi Sistem Pendidikan

2.       Sistem pendidikan di negara kita sentiasa melalui proses transformasi dan penambahbaikan dari masa ke semasa untuk menjamin kualiti pendidikan berada pada tahap yang tinggi. Peruntukan perbelanjaan yang besar telah diberikan kepada sektor pendidikan untuk tujuan ini. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh UNESCO pada tahun lalu, Malaysia berada pada kedudukan kesebelas dalam senarai 137 buah negara yang memperuntukkan perbelanjaan paling tinggi kepada sektor pendidikan. Secara purata, peruntukan kepada sektor pendidikan di Malaysia bagi dekad ini adalah sekitar 25.2 peratus daripada keseluruhan bajet negara, menjadikan sektor pendidikan antara penerima peruntukan yang terbanyak daripada kerajaan.

3.       Jumlah peruntukan yang besar ini telah membolehkan kerajaan membina prasarana pendidikan yang baik, menyediakan peralatan sekolah yang mencukupi, memajukan pendidikan luar bandar, memperkenalkan pengajaran dan pembelajaran berteraskan teknologi maklumat dan menampung perbelanjaan mengurus.

4.       Namun, peruntukan yang besar dan infrastruktur pendidikan yang baik sahaja masih belum memadai untuk menjamin kejayaan sesuatu sistem pendidikan. Penentu sebenar kejayaan sistem pendidikan ialah kewujudan sekolah-sekolah terbaik yang menawarkan pendidikan berkualiti. Oleh itu, sumber kritikal negara kita perlu disalurkan secara berkesan kepada usaha untuk mewujudkan sekolah-sekolah terbaik yang akan memacu kecemerlangan pendidikan negara. Matlamat ini boleh dicapai dengan melaksanakan usaha bersepadu bagi melonjakkan prestasi sekolah melalui peningkatan kualiti guru secara berterusan, penerapan elemen inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran serta pemupukan budaya kepimpinan sekolah yang berkesan.

Sekolah Berprestasi Tinggi

5.       Usaha bersepadu ini akan dilaksanakan melalui pewujudan sekolah-sekolah berprestasi tinggi yang merupakan sekolah model di negara ini. Kerajaan akan melaksanakan program yang dirangka khusus untuk mengekal dan melonjakkan pencapaian Sekolah Berprestasi Tinggi di samping menekankan tanggungjawab sosial sekolah-sekolah ini untuk membimbing sekolah-sekolah lain meningkatkan prestasi masing-masing. Ini termasuklah pelaksanaan program latihan dan pembangunan profesionalisme guru dan pemimpin Sekolah Berprestasi Tinggi secara berterusan; pemberian autonomi kepada pihak sekolah untuk melaksanakan kurikulum dan pengurusan kakitangan yang luwes; penyediaan ganjaran berteraskan prestasi kepada sekolah, guru-guru serta kakitangan; dan pelaksanaan program bimbingan sekolah-sekolah lain.

Pemantapan Kualiti Guru

6.       Di sekolah-sekolah berprestasi tinggi, kerajaan akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memantapkan kualiti guru dan meningkatkan keupayaan kepimpinan sekolah untuk muncul sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan (effective instructional leaders). Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran akan menyediakan pelbagai bentuk latihan dan program pembangunan profesionalisme guru dan pemimpin sekolah. Ini termasuklah program sabbatikal dan attachment guru serta pemimpin sekolah dengan institusi-institusi pendidikan ternama di dalam dan luar negara. Program ini akan memberi peluang kepada guru-guru dan pemimpin Sekolah Berprestasi Tinggi untuk memperkaya pengetahuan dan menimba pengalaman baru bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.

7.       Guru-guru juga akan menerima bimbingan berterusan di sekolah melalui program perkongsian amalan terbaik oleh guru-guru cemerlang. Di samping itu, para Pengetua dan Guru Besar Sekolah Berprestasi Tinggi juga akan memainkan peranan penting dalam membimbing guru-guru memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran secara hands-on. Tugas utama Pengetua dan Guru Besar bukan sekadar mengurus sekolah, tetapi menyediakan bimbingan kepada guru-guru tentang penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik. Sehubungan itu, fungsi Pengetua dan Guru Besar Sekolah Berprestasi Tinggi sebagai peneraju pengajaran dan pembelajaran yang berkesan akan menjadi komponen utama dalam penilaian prestasi masing-masing.

Autonomi dalam Pelaksanaan Kurikulum:
Menggalakkan Inovasi dan Kreativiti

8.       Inovasi dan kreativiti merupakan elemen utama pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Berprestasi Tinggi. Justeru, kerajaan akan menggalakkan percambahan daya inovasi dan kreativiti melalui pemberian autonomi kepada pihak sekolah untuk melaksanakan kurikulum secara luwes. Di samping menawarkan mata pelajaran teras, pihak sekolah dibenarkan untuk membuat pilihan dalam menawarkan matapelajaran wajib dan elektif serta menyesuaikan waktu belajar dengan keupayaan, keperluan dan kecenderungan pelajar. Ini termasuklah menentukan jumlah waktu minimum bagi sesuatu mata pelajaran, menambah masa persekolahan, menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berteraskan teknologi maklumat dan menyediakan laluan pintas bagi pelajar-pelajar cemerlang untuk melangkau ke tahap yang lebih tinggi.

9.       Dengan melaksanakan kurikulum yang luwes, ibu bapa murid cemerlang di Sekolah Berprestasi Tinggi boleh memilih untuk mempercepatkan pembelajaran murid sesuai dengan kemampuan dan kecenderungan mereka. Murid yang pintar dan menunjukkan keupayaan untuk menguasai pelajaran dengan pantas (fast learner) boleh menghabiskan 50 peratus silibus Tahun 2 di Tahun 1. Jika berupaya untuk mengikuti pembelajaran seterusnya dengan baik, murid-murid ini boleh terus melangkau ke Tahun 3 dengan menghabiskan baki 50 peratus silibus Tahun 2 di Tahun 3.

10.     Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa program laluan pintas ini mesti dilaksanakan dengan mengambilkira faktor emosi murid. Ibu bapa dan guru memainkan peranan penting untuk mengelakkan sebarang tekanan emosi yang berlebihan ke atas murid yang akan menjejaskan pencapaian mereka. Cara yang terbaik ialah membimbing setiap murid untuk mengikuti pembelajaran berdasarkan keupayaan dan kecenderungan masing-masing. Saya yakin dengan menggunakan pendekatan berteraskan murid (student-centered) ini kita akan dapat membangunkan potensi setiap murid secara seimbang.

Ganjaran Kewangan

11.     Bagi meningkatkan keupayaan sekolah untuk melaksanakan program lonjakan prestasi, setiap Sekolah Berprestasi Tinggi akan menerima peruntukan tambahan berjumlah RM700,000 setahun. Peruntukan tambahan ini boleh digunakan untuk tujuan penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran, pemantapan latihan guru, pengukuhan bidang kebitaraan sekolah dan pembiayaan aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum murid. Perbelanjaan pruntukan ini adalah tertakluk kepada peraturan kewangan sedia ada bagi menjamin akauntabiliti.

12.     Setiap guru dan kakitangan Sekolah Berprestasi Tinggi juga akan menerima ganjaran berteraskan prestasi. Pemberian ganjaran ini adalah satu kaedah terbaik untuk meningkatkan motivasi guru-guru dan kakitangan sekolah supaya berusaha dengan lebih gigih dan bersemangat untuk menambahbaik mutu pengajaran dan pembelajaran.

Program Bimbingan Sekolah Berprestasi Rendah

13.     Kerajaan sedar bahawa lonjakan pencapaian di sekolah-sekolah berprestasi tinggi bukanlah matlamat akhir transformasi pendidikan di negara ini. Transformasi yang sebenar hanya akan berlaku apabila setiap sekolah mendapat peluang yang setimpal untuk melonjakkan pencapaian masing-masing.

14.     Pada masa yang sama, kerajaan juga prihatin terhadap keadaan sekolah-sekolah di luar bandar dan pedalaman yang menghadapi halangan fizikal dan struktural untuk memperbaiki pencapaian. Tanpa usaha yang bersepadu untuk meningkatkan prestasi sekolah-sekolah ini, mereka akan terperangkap dalam putaran ganas pencapaian rendah dan sederhana yang akan merugikan murid.

15.     Oleh itu, Kementerian Pelajaran telah merangka program khusus untuk membimbing sekolah-sekolah ini, terutamanya yang berada di luar bandar dan pedalaman. Ini termasuklah pelaksanaan program mentoring dan kursus penerapan (immersion course) guru dengan rakan-rakan sekerja dari sekolah-sekolah berprestasi tinggi. Melalui program seperti ini, guru-guru dan pemimpin sekolah akan mendapat bimbingan untuk meningkatkan prestasi sekolah masing-masing dengan mencontohi amalan terbaik di sekolah-sekolah berprestasi tinggi. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial sekolah-sekolah berprestasi tinggi untuk membantu melonjakkan pencapaian sekolah-sekolah lain.

16.     Bagi meningkatkan motivasi guru, ganjaran kewangan dan bukan kewangan juga akan diberikan kepada guru-guru dan kakitangan sekolah di seluruh negara berdasarkan prestasi masing-masing. Ganjaran ini adalah sebahagian daripada imbuhan di bawah bidang kecil NKRA pendidikan iaitu bai’ah antara Kementerian Pelajaran dengan Pengetua dan Guru Besar. Dengan cara ini, guru-guru yang tidak berkhidmat di sekolah berprestasi tinggi juga berpeluang untuk menikmati ganjaran berteraskan prestasi. Pemberian ganjaran ini walaupun kecil nilainya berbanding sumbangan besar guru-guru mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berjaya diharapkan dapat meningkatkan motivasi guru untuk berusaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Peranan Ibu Bapa

17.     Di samping itu, dorongan yang kuat untuk meningkatkan prestasi sekolah harus disertai dengan kesedaran yang mendalam tentang peranan sebenar guru dalam mendidik murid agar menjadi insan yang baik. Ini merangkumi persoalan nilai, moral dan budaya yang ingin diterapkan ke dalam jiwa setiap murid bagi membentuk kesempurnaan peribadi dan keteguhan jatidiri. Dalam kesungguhan kita untuk meningkatkan prestasi, jangan kita lupa bahawa para pelajar perlu dididik dengan nilai-nilai murni. Mereka perlu diasuh supaya sentiasa menghormati guru dan ibu bapa, berikhtiar meningkatkan keupayaan diri, bantu-membantu dan bersaing secara sihat bagi mencipta kejayaan bersama. Nilai-nilai murni ini merupakan teras budaya kecemerlangan yang mesti dijadikan pendorong utama lonjakan prestasi sekolah.

18.     Saya juga berharap agar ibu bapa dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam memacu kecemerlangan Sekolah Berprestasi Tinggi. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh merancang dan melaksanakan program-program pengukuhan pembelajaran murid secara bersama dengan pihak sekolah.

Penutup

19.     Dengan pemantapan latihan guru, penerapan budaya inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran, pemberian ganjaran berteraskan prestasi dan peranan aktif ibu bapa, kerajaan sebenarnya meletakkan keyakinan kepada setiap sekolah di negara ini untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Tanggungjawab seterusnya tergalas di bahu para guru dan pemimpin sekolah untuk sentiasa mencabar minda, berfikir di luar kotak dan bekerja di luar cara biasa bagi meningkatkan prestasi sekolah. Inilah satu-satunya laluan yang mesti disusuri oleh setiap sekolah di negara ini untuk muncul sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

20.     Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada sekolah-sekolah yang telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Harapan saya ialah sekolah-sekolah ini akan dapat mengekal dan meningkatkan prestasi serta menjadi pemacu kecemerlangan pendidikan Negara.

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi bagi tahun 2010.
Wabillahi al-Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabatakatuh.

Source:

Perutusan Tahun Baru 2010

Thursday, January 21st, 2010
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
PERUTUSAN TAHUN BARU 2010
7 JANUARI 2010; PUKUL 8.40 PAGI;
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE

1.         Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, maka kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Perutusan Tahun Baru bagi tahun 2010 ini. Bagi warga Kementerian Pelajaran, hari ini merupakan hari yang amat bermakna di mana seluruh warga Kementerian Pelajaran dari segenap pelusuk tanah air berhimpun untuk bersama-sama memperbaharui iltizam, memperteguhkan tekad dan menyuntik semangat baru yang lebih kental bagi melaksanakan tanggungjawab mulia mendidik anak bangsa dan melonjakkan mutu pendidikan negara.

Para hadirin yang dihormati,

2.         Kementerian Pelajaran merupakan nadi kepada usaha untuk membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara pada masa hadapan. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga Kementerian untuk menyediakan pendidikan berkualiti yang menekankan pembangunan insan secara holistik dan membangunkan daya inovasi dan kreativiti pelajar. Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan serta berupaya untuk memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara kita. Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk melaksanakan Model Ekonomi Baru dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

3.         Dalam sebuah negara berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, pendidikan juga merupakan wadah utama untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Hasrat ini hanya akan dapat dicapai melalui pelaksanaan satu sistem pendidikan yang mementingkan nilai-nilai kebangsaan dan menghormati kepelbagaian. Melalui sistem pendidikan ini, anak-anak akan diasuh dengan nilai-nilai kebersamaan, hormat-menghormati, cintakan tanah air dan penerimaan antara satu sama lain. Saya percaya dengan adanya usaha, tekad dan niat yang murni daripada pelbagai pihak untuk menyemai dan menyuburkan benih perpaduan di kalangan generasi muda melalui satu sistem pendidikan kebangsaan, kita akan berjaya memperkukuhkan perpaduan negara selaras dengan hasrat dan gagasan 1Malaysia.

4.         Hakikatnya, melahirkan modal insan yang berketerampilan dan memupuk perpaduan kebangsaan adalah dua matlamat murni sistem pendidikan negara. Lebih daripada itu, sistem pendidikan di negara kita dipandu oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang sempurna dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, fungsi utama pendidikan di negara kita ialah untuk membina dan membangun potensi yang ada pada setiap anak kita tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bahasa dan budaya. Adalah menjadi hak setiap anak-anak di negara ini untuk mendapatkan pendidikan yang mampu menggarap dan membina segala potensi yang ada pada diri mereka secara seimbang dan sempurna.
Para hadirin yang dihormati sekalian,

KEJAYAAN YANG DICAPAI DALAM TAHUN 2009
Akses Pendidikan Berkualiti – Infrastruktur dan Kebajikan

5.         Menyedari kepentingan pendidikan sebagai wahana untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan, mempekukuhkan perpaduan dan membangun potensi pelajar secara seimbang, kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda pendidikan. Meskipun Malaysia menerima kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia, Kementerian Pelajaran sentiasa memastikan perancangan dan pembangunan pendidikan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya. Alhamdulillah, pencapaian sepanjang tahun 2009, menunjukkan program-program yang dirancang telah memberi impak yang berkesan.

PENCAPAIAN AKADEMIK DI SEKOLAH

6.         Dari segi pencapaian akademik, pencapaian calon UPSR pada tahun lalu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan bilangan pelajar yang memperolehi Gred A dalam semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.32 peratus. Sementara itu, keputusan PMR 2009 juga mencatatkan peningkatan sebanyak 6 peratus.

AKTIVITI SUKAN, SENI DAN KOKURIKULUM

7.         Saya juga amat berbangga dengan kejayaan menonjol para pelajar dalam bidang ko-kurikulum apabila pasukan negara kita menjadi johan keseluruhan dalam pertandingan World Robotic Challenge 2009 di Pohang, Korea Selatan; mendapat tempat ke enam dalam F1 Technology Challenge World Championship 2009 di London; dan pasukan daripada Sekolah Victoria menjuarai Kejohanan Pancaragam Sedunia 2009. Manakala dalam bidang sukan, kita amat berbangga dengan kegigihan yang ditunjukkan oleh para atlet muda dari Sekolah Sukan Malaysia yang mampu bersaing dengan atlet senior di Temasya Sukan SEA Ke-25 di Laos dengan meraih sebanyak 28 pingat emas. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua!

8.         Usaha yang lebih bersepadu untuk menambah baik kemudahan dan prasarana sukan, meningkatkan keupayaan jurulatih dan menyemarakkan program sukan dan kokurikulum di sekolah akan terus dilaksanakan pada masa hadapan. Untuk tujuan ini, seramai 480 orang jurulatih kokurikulum telah dilatih pada tahun 2009 bagi membolehkan 516 jawatan jurulatih kokurikulum diisi pada tahun 2010 ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

MEMANTAPKAN LATIHAN PERGURUAN

9.         Kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabat profesionalisme keguruan, KPM telah melaksanakan beberapa strategi. Ini termasuklah menaik taraf maktab perguruan kepada institut pendidikan guru (IPG) yang menawarkan program ijazah. Kumpulan pertama guru terlatih IPG iaitu seramai 1,448 orang yang berjaya memperolehi ijazah sarjana muda pendidikan di bawah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) pada Disember 2009 akan memulakan tugas mereka pada awal tahun ini. Pusat-pusat Kecemerlangan Institut Pendidikan Guru juga telah diwujudkan berdasarkan bidang-bidang kebitaraan.

10.       Kementerian juga akan meneruskan usaha untuk meningkatkan jaringan kerjasama dengan universiti-universiti berprestij dalam dan luar negara sebagai salah satu usaha menaik taraf IPG, meningkatkan pembangunan kapasiti (capacity building) para pensyarah dan melahirkan guru siswazah yang berkemahiran. Antara yang telah dilaksanakan ialah Program Perguruan IPTA (Ijazah Sarjana Muda Perguruan) dalam negara, serta Program Kembar Bachelor of Education (TESL). IPG Kampus Antarabangsa yang telah bekerjasama dengan lima universiti di Australia, New Zealand dan United Kingdom sejak tahun 2003 telah melahirkan tiga kohort guru bahasa Inggeris berjumlah 367 orang yang majoritinya berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman. Program melatih guru dalam bahasa Antarabangsa seperti Bahasa Jerman, Bahasa Jepun dan Bahasa Perancis diteruskan bagi memastikan murid sekolah berpeluang belajar bahasa lain selain bahasa Inggeris. Selain itu, Program Pensarjanaan Tenaga Pengajar IPG diteruskan bagi menjamin kredibiliti tenaga pengajar dan kualiti pendidikan di IPG. Sehingga penghujung tahun 2009, sejumlah 60 peratus pensyarah IPG telah ditawarkan tajaan biasiswa kedoktoran manakala 57 peratus pensyarah ditawarkan tajaan biasiswa sarjana.
Hadirin yang saya hormati sekalian,

INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN PENDIDIKAN

11.       Pemeluasan akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak akan lengkap tanpa memastikan pelajar menikmati kemudahan pendidikan yang selesa. Oleh itu, sebanyak 10,281 projek infrastruktur dan kemudahan pendidikan telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian. Bagi memastikan anak-anak kita di luar bandar dan kawasan pedalaman menerima pendidikan yang sewajarnya, sebanyak 93 buah asrama baru, asrama tambahan dan gantian telah siap, atau sedang dalam proses pembinaan. Kementerian juga telah melaksanakan sebanyak 168 buah projek rumah guru yang diharap dapat memastikan guru dapat berkhidmat di kawasan pedalaman dalam keadaan yang lebih selesa.

12.       Selain itu, KPM juga telah melaksanakan projek bekalan air bersih di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM387.9 juta. Bekalan elektrik telah berjaya disediakan di sekolah-sekolah di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM1.78 billion. Sehingga kini bekalan elektrik 24 jam telah dapat disediakan kepada hampir semua sekolah iaitu 99.1 peratus sekolah rendah, dan 99.5 peratus sekolah menengah. Dalam usaha merapatkan jurang digital, Kementerian telah mewujudkan 2143 atau (70.8%) pusat akses ICT di luar bandar. Dengan terlaksananya pembinaan pusat akses, maka ramai murid telah dapat melaksanakan pembelajaran kendiri, berkomunikasi secara elektronik, mencapai maklumat dan memperoleh kemahiran ICT.

Hadirin yang dihormati sekalian,

KEBAJIKAN GURU

13.       Sesungguhnya Kementerian amat menghargai dan berterima kasih kepada para pendidik yang tanpa jemu berusaha meningkatkan kualiti pendidikan negara dan mendidik anak bangsa, terutamanya bagi mereka yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman. Bagi memastikan guru terlatih mencukupi mengikut opsyen di pedalaman, Kementerian telah memperluaskan pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi Dan Tahap Kesusahan bagi pegawai perkhidmatan pendidikan dan anggota kumpulan sokongan yang berkhidmat di sekolah pedalaman. Elaun ini telah memberi manfaat kepada seramai 12,000 warga pendidik di 872 buah sekolah.

14.       Untuk memartabatkan profesyen keguruan, Kementerian juga telah meluluskan 3,302 pemangkuan dan kenaikan pangkat kepada Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah (PPPS) laluan cemerlang, 233 bagi laluan Guru Besar bekas Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma (PPLD); 9, 627 bagi PPPS laluan Time-Based; 17, 916 bagi PPPS laluan hakiki; 2,137 bagi PPLD laluan cemerlang; 8,218 bagi PPLD laluan Time-Based; dan 5,368 bagi PPLD laluan hakiki. Bagi Anggota Kumpulan Sokongan pula, jumlah pemangkuan dan kenaikan pangkat yang diluluskan ialah 4,001 bagi laluan Time-Based dan 10,915 bagi laluan Hakiki.

PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN PERINGKAT ANTARABANGSA

15.       Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia, Kementerian menjalin program-progran kerjasama dengan negara-negara maju dan membangun. Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang dikendalikan di IPG, Kampus Bahasa Antarabangsa sejak tahun 2001 melibatkan 93 buah negara, adalah salah satu bukti bahawa pendidikan di Malaysia telah mencapai tahap antarabangsa dan mempamerkan keupayaan Malaysia menjadi global players dalam arena pendidikan dunia. Satu lagi projek yang amat membanggakan Malaysia pada tahun 2009 adalah Malaysia Australia Education Project for Afghanistan (MAEPA), iaitu projek kerjasama   Malaysia dan Australia bagi melatih 30 orang jurulatih utama dari Afghanistan dalam pendidikan guru menurut perspektif pendidikan Islam di IPG yang sama. Malaysia juga akan meningkatkan jalinan kerjasama peringkat dua-hala (Bilateral) dan pelbagai-hala (Multilateral) melalui pelbagai saluran kerjasama di peringkat antarabangsa seperti ASEAN, UNESCO, ISESCO, Komanwel, dan SEAMEO

Hadirin yang dihormati sekalian,

HARAPAN BAGI TAHUN 2010

16.       Apakah harapan dan wawasan kita bagi tahun 2010? Walaupun kita telah berjaya melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kualiti pendidikan pada tahun 2009, kita juga akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu ditangani bagi tahun 2010. Antara cabaran yang menuntut komitmen dan iltizam semua warga pendidik adalah meluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan sebagaimana yang disasarkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.

17.       Justeru, bagi tahun 2010 saya ingin memberikan tumpuan khusus kepada usaha untuk mencapai sasaran awal empat sub-NKRA pendidikan. Pertama, untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah, sasaran Kementerian bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas, malah juga meliputi kanak-kanak yang berumur 4 tahun. Penyertaan kanak-kanak seawal umur 4 tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi. Pada masa ini, 67 peratus kanak-kanak telah mengikuti prasekolah kerajaan dan swasta. Sasaran bagi tahun 2010, iaitu peningkatan 5 peratus kepada 72 peratus bukanlah sesuatu yang sukar dicapai, kerana tanggungjawab ini akan dipikul bersama oleh agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Selaras dengan ini, Kementerian telah menambah bilangan kelas prasekolah kepada 315 buah kelas dengan bilangan guru prasekolah seramai 7,511 orang pada tahun 2010 ini. Semua prasekolah, kerajaan mahupun swasta, akan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid.

18.       Kedua, penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira murid akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS) pada peringkat sekolah rendah. Pada masa kini, kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah adalah 87 peratus. Sasaran bagi tahun 2010 ialah peningkatan sebanyak 3 peratus iaitu kepada 90 peratus. Sasaran ini akan disokong dengan menempatkan guru-guru yang terbaik untuk mengajar Tahun 1, menambah bilangan guru pemulihan di sekolah pada nisbah 1 guru kepada 15 orang murid daripada nisbah sedia ada iaitu 1 guru kepada 1 sekolah. Ini akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M. Kumpulan guru yang bertindak sebagai fasilitator untuk membantu guru-guru dalam program ini juga akan diwujudkan di semua Pejabat Pelajaran Daerah.

19.       Ketiga, sasaran untuk melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi akan dicapai dengan mewujudkan sekolah berkesan atau effective schools yang mempunyai identiti tersendiri yang unik, berbudaya kerja sangat tinggi dengan modal insan yang berkembang secara holistik, berdaya saing serta diiktiraf dalam dan luar negara. Sebanyak 20 buah sekolah disasarkan untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini agar matlamat kita menjadikan 100 buah sekolah dalam kumpulan ini pada tahun 2012 tercapai. Saya amat berharap agar hasrat untuk mewujudkan sekolah-sekolah sebegini menjadi realiti dan seterusnya menjadi sekolah contoh kepada sekolah-sekolah lain dalam mencipta kecemerlangan institusi masing-masing.

20.       Keempat, Kementerian telah merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah yang telah berusaha memajukan serta menyumbang kepada profesionalisme pengurusan dan kesejahteraan institusi masing-masing. Bermula tahun 2010, semua pemimpin sekolah perlu menetapkan sasaran yang perlu dicapai dengan persetujuan bersama Kementerian. Pencapaian prestasi sekolah adalah berdasarkan skor komposit iaitu kombinasi skor Gred Purata Sekolah (GPS) dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pengetua dan Guru Besar yang mencapai kedudukan tertinggi akan layak menerima ganjaran. Kementerian berharap agar ganjaran ini menjadi pendorong kepada semua pemimpin sekolah untuk terus berusaha dengan gigih bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dan seterusnya meningkatkan kualiti sekolah sehingga menjadi sekolah berprestasi tinggi.

21.       Dalam usaha kita untuk menjadi negara maju, kita juga perlu melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi. Alhamdulillah, dalam kalangan pelajar kita terdapat mereka yang lebih cenderung untuk mengasah bakat dalam bidang kemahiran. Menyedari hakikat ini, Kementerian telah menstruktur semula 69 buah Sekolah Menengah Teknik untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional yang diharapkan dapat menggarap kemahiran pelajar-pelajar kita dan meningkatkan daya inovasi dan kreativiti mereka. Kita juga telah merancang program yang terbaik agar sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi salah satu bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan kita. Saya percaya dengan peningkatan mutu pendidikan kemahiran dan vokasional, kita akan dapat membekalkan tenaga kerja yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang amat diperlukan oleh Negara.

22.   Penandaarasan pendidikan negara adalah amat penting untuk menjamin pendidikan di negara kira adalah setanding dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Dengan mengambil kira kesesuaian konteks pendidikan Malaysia, Kementerian akan menjalankan kajian penilaian ke atas sistem pendidikan negara pada tahun hadapan dengan kerjasama UNESCO bagi membolehkan kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan untuk menambahbaik sistem pengurusan pendidikan, kurikulum, latihan perguruan, proses pengajaran dan pembelajaran dan aspek-aspek lain secara keseluruhannya.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

MBMMBI

23.        Bahasa merupakan jiwa sesuatu bangsa. Menyedari hakikat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan, Kementerian akan berusaha lebih gigih untuk memartabatkan bahasa Malaysia dengan mengukuhkan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Program literasi kepada murid sekolah rendah akan menumpu kepada kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia dalam semua aliran pendidikan. Ini bagi memastikan semua murid dapat berkomunikasi dan memahami satu sama lain dalam satu bahasa yang akan mewujudkan semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Selain itu, Kementerian juga akan melaksanakan transformasi bahasa Malaysia dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang, dan holistik.

24.       Untuk berjaya pada peringkat antarabangsa, kita perlu menguasai bukan sahaja satu bahasa malah pelbagai bahasa antarabangsa. Untuk tujuan itu, Kementerian telah mengambil langkah untuk memperkukuhkan penguasaan dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua negara, lantas dapat meningkatkan keupayaan murid menguasai ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi, serta mempersiapkan mereka menghadapi persaingan arus globalisasi, selain menggalakkan murid menguasai bahasa-bahasa antarabangsa lain di dunia. Antara usaha yang dijalankan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan menambah bilangan guru bahasa Inggeris berkualiti melalui latihan perguruan menggunakan jurulatih utama dari luar negara atau penutur jati bahasa tersebut. Selain itu, penambahan masa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sebanyak 90 minit untuk Sekolah Kebangsaan dan 60 minit untuk Sekolah Jenis Kebangsaan membuktikan kesungguhan Kementerian untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Sebanyak empat IPG dan English Language Training Centre (ELTC) telah dikenalpasti sebagai ‘Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris’. Semua IPG ini akan melaksanakan pelan tindakan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih dan dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2010 dan tahun-tahun berikutnya.
Hadirin yang dihormati sekalian,

25.       Kementerian telah merancang pelbagai usaha untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan menambahbaik sistem pendidikan negara. Namun, usaha dan perancangan tersebut akan menghadapi cabaran yang bukan sedikit pada tahun 2010 ini. Sebagai permulaan, krisis ekonomi dunia yang berlaku telah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara kita. Situasi ini telah menjejaskan pendapatan negara. Ini menyebabkan peruntukan perbelanjaan Kementerian Pelajaran pada tahun ini dikurangkan kepada RM30.51 billion berbanding RM31.4 billion pada tahun lalu. Cabaran kepada Kementerian ialah untuk meneruskan segala aktviti sedia ada secara lebih cekap dengan meletakkan keutamaan (priority) pelaksanaan program yang dirancang tanpa menjejaskan kualiti pendidikan.

26.       Kunci kepada kejayaan kita mengharungi cabaran ini ialah pengurusan kewangan yang berhemah berteraskan amalan nilai-nilai moral, etika dan integriti yang luhur. Dalam memelihara integriti, saya menyeru seluruh warga Kementerian agar menghayati nilai-nilai murni seperti cekap, jujur dan amanah, serta membuat sesuatu keputusan berasaskan kepada kriteria-kriteria yang telus, adil dan saksama serta mengelakkan pembaziran. Saya yakin dengan memelihara integriti, kita akan berupaya mengurus kewangan dengan berhemah dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat selaras dengan prinsip rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

27.       Cabaran yang perlu digalas oleh semua pengurus pendidikan khususnya pada peringkat institusi pendidikan ialah untuk berfikir dan bertindak bagi mengekal dan meningkatkan pencapaian berdasarkan tahap keberhasilan yang ditetapkan dengan menggunakan sumber yang terhad. Kejayaan pengurusan sekolah mendepani cabaran ini sesungguhnya menjadi ukuran kepada kecekapan dan keberkesanaan mereka dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Inilah masa yang sesuai untuk kita memperaktikkan cadangan YAB Perdana Menteri bagi tahun 2010, iaitu ‘menggalakkan kreativiti dan inovasi’ dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Saya percaya, kita pasti dapat mengharungi segala cabaran yang bakal mendatang dengan adanya semangat dedikasi, sifat tanggungjawab dan profesionalisme warga pendidik.

28.       Kepada para pelajar, harapan saya tentu sekali anda semua mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Ingatlah bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh para guru dan seluruh warga Kementerian ini ialah untuk mendidik anda semua agar menjadi pelajar yang cemerlang. Justeru, berusahalah dengan gigih, hormatilah para guru dan ibubapa, peliharalah disiplin dan sahsiah diri, dan capailah impian anda. Di samping itu, jadikanlah sekolah kita sebagai medan untuk memperkukuhkan perpaduan. Hayatilah semangat 1Malaysia dengan sepenuh hati dan amalkanlah sikap saling hormat-menghormati. Saya percaya dengan sikap yang baik ini kita akan berjaya memupuk semangat perpaduan yang lebih kental.

PENUTUP

29. Akhirnya, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua warga Kementerian Pelajaran, termasuk semua pendidik yang berada di seluruh pelusuk negara yang telah berusaha dengan gigih untuk menjayakan pelbagai program pada tahun 2009. Bagi tahun baru 2010 ini, saya berharap usaha untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan akan dilipatgandakan lagi agar kita dapat menyediakan pendidikan terbaik kepada anak-anak kita pada hari ini dan masa depan. Selamat Menyambut Tahun Baru 2010. Semoga usaha kita akan diberkati Allah SWT dan segala perancangan kita dapat dilaksanakn dengan jayanya.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Source:

Majlis Perasmian Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012

Sunday, November 15th, 2009
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERKEMBANGAN BARU DALAM PENDIDIKAN 2010-2012
BERTEMPAT DI INSTITUT AMINUDDIN BAKI, GENTING HIGHLANDS, PADA 28 OKTOBER 2009, PUKUL 10.30 PAGI

1.         Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya kita dapat berhimpun dalam Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012 di Institut Aminuddin Baki pada hari ini. Sesungguhnya persidangan ini amat penting kepada warga pendidik untuk mendapatkan penjelasan tentang dasar-dasar baru dan perkembangan semasa berkaitan dengan pendidikan di negara kita. Persidangan ini juga memberi peluang kepada warga pendidik untuk memperinci, mengkaji dan membuat penilaian tentang pelaksanaan dasar-dasar yang sedia ada dan seterusnya merancang penambahbaikan dalam konteks penyesuaian kepada dasar-dasar baru yang diumumkan oleh kerajaan.

Matlamat Pendidikan

2.         Sesuatu dasar yang digubal tentunya mempunyai matlamat untuk dicapai. Dalam konteks pendidikan, dua matlamat penting yang lazimnya disasarkan ialah untuk membangunkan potensi insan secara menyeluruh dan memenuhi keperluan sosio-ekonomi negara. Kedua-dua matlamat ini saling berkait antara satu sama lain. Sesuatu sistem pendidikan yang bertujuan membangunkan potensi insan secara menyeluruh sudah pasti akan melahirkan manusia yang bukan sahaja mampu untuk memacu pembangunan ekonomi negara, tetapi juga mengisi makna kemajuan dengan nilai-nilai yang luhur. Lantaran itu, tokoh pembaharuan Islam tersohor, Muhammad Abduh, menegaskan bahawa matlamat asas pendidikan (al-ta’līm wa al-tarbiyyah) ialah untuk membentuk sahsiah insan melalui penerapan nilai-nilai murni ke dalam jiwa peribadinya agar ia menjadi insan yang baik (rijālan sālihan fī nafsih).

3.         Sesungguhnya, dasar pendidikan di negara kita dipandu oleh Falsafah Pendidikan Negara yang bermatlamat untuk melahirkan insan kamil, iaitu insan yang terbangun segala potensi manusiawinya secara sempurna dan seimbang. Dalam ertikata lain, matlamat pendidikan di negara kita ialah untuk melahirkan insan yang baik melalui sistem pendidikan yang mampu menggarap dan membina potensi akal, jasmani, emosi dan rohani murid secara holistik.   Matlamat inilah yang melandasi setiap dasar dan perancangan pendidikan yang digubal dan dilaksanakan di negara kita. Justeru itu, dalam mencapai matlamat melahirkan modal insan yang akan mengisi keperluan untuk memajukan ekonomi negara di masa hadapan, kita bukan sahaja menekankan aspek penguasaan ilmu dan kemahiran, tetapi juga keterampilan dan keperibadian insan yang mulia.

Transformasi dan Pembaharuan Pendidikan

4.         Di samping mengekalkan matlamat asas ini, sistem pendidikan di negara kita sentiasa melalui proses transformasi dan pembaharuan dari masa ke semasa seiring dengan peredaran zaman. Dalam dasawarsa awal selepas merdeka, pendidikan di negara kita menjadi wahana penting untuk membangunkan negara dan memupuk perpaduan nasional. Oleh itu, dasar awal pendidikan kebangsaan digubal untuk mencapai dua matlamat penting ini.

5.         Seterusnya, sewaktu negara kita sedang mengorak langkah sebagai sebuah negara industri baru yang pesat membangun dalam dekad 80-an dan 90-an, pendidikan menjadi wahana untuk melahirkan sumber manusia yang berupaya untuk mengisi keperluan perindustrian negara. Selanjutnya, kini ketika kita sedang bersiapsiaga untuk melakukan lonjakan berganda bagi mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi, pendidikan menjadi wahana penting untuk melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berketerampilan untuk memacu ekonomi berasaskan pengetahuan.

5.         Keupayaan untuk melakukan transformasi dan pembaharuan dalam sistem pendidikan, di samping mengekalkan matlamat asas untuk melahirkan insan yang baik, merupakan prasyarat utama kepada kejayaan kita memajukan negara dan pada masa yang sama membina masyarakat yang beradab. Malah, sistem pendidikan yang berfungsi dengan baik ialah sistem yang sentiasa melalui proses transformasi dan pembaharuan seiring dengan perkembangan semasa.

6.         Dalam konteks pendidikan di negara kita, beberapa dasar yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, termasuk dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah dan memperkasa pendidikan prasekolah merupakan komponen penting transformasi dan pembaharuan yang sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita, yang mana natijah akhirnya ialah berlakunya peningkatan pada kualiti pendidikan.

Akses Kepada Pendidikan Berkualiti

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
7.         Alhamdulillah, Malaysia hari ini telah diiktiraf sebagai antara negara yang paling berjaya dalam menyediakan akses kepada pendidikan untuk semua rakyat. UNESCO dalam Education for All Global Monitoring Report 2009 telah meletakkan Malaysia pada kedudukan 45 daripada 129 negara, sekali gus menempatkan Malaysia di kalangan 56 negara yang berada di kedudukan aras tinggi pada Indeks Pembangunan Pendidikan untuk Semua. Ini merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan untuk sistem pendidikan Malaysia.

8.         Walaupun kita berada pada kedudukan yang baik dalam indeks pendidikan untuk semua, ini tidak bermakna kita boleh kekal selesa dengan pencapaian kita. Dalam usaha untuk melonjakkan kemajuan dan kemakmuran negara ke tahap yang lebih tinggi, kita mestilah sentiasa berusaha bukan sahaja untuk meningkatkan akses kepada pendidikan, tetapi memperluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Bidang Keberhasilan Utama Negara Sebahagian Daripada Proses Transformasi dan Pembaharuan Pendidikan

9.         Oleh sebab itu, YAB Perdana Menteri telahpun menjadikan pemeluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), dengan hasrat untuk melahirkan modal insan yang berdaya maju dan mampu memacu ekonomi berpendapatan tinggi. Pengenalan NKRA pendidikan merupakan sebahagian daripada proses transformasi dan pembaharuan dalam sistem pendidikan kita yang insyaAllah akan melonjakkan lagi kecemerlangan pendidikan di negara ini.

10.       Untuk mencapai hasrat ini, Kementerian Pelajaran telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan empat komponen kecil NKRA pendidikan iaitu: pertama, meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20% pada akhir tahun 2012; kedua, memastikan semua murid normal boleh menguasai asas kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah; ketiga, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi; dan keempat, memperkenalkan New Deal atau Bai’ah Baru kepada pemimpin sekolah dengan hasrat untuk meningkatkan profesionalisme pengurusan dan kecemerlangan sekolah.

Pertama: Meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20% pada akhir tahun 2012

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
11.       Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah halnya dengan pendidikan anak-anak. Keutamaan harus diberikan kepada usaha menggilap potensi anak-anak sejak dari awal lagi, iaitu di peringkat pendidikan prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan diperkasakan dan dijadikan sebahagian daripada aliran perdana dalam sistem pendidikan kebangsaan. Pada masa ini, 67% kanak-kanak kohort umur 5 tahun mengikuti pendidikan prasekolah kerajaan dan swasta. Menjelang tahun 2012, kerajaan mensasarkan peningkatan kadar penyertaan pendidikan prasekolah kepada 87%, iaitu penambahan sebanyak 20%. Dijangkakan seramai lebih 440,000 murid akan mengikuti prasekolah pada tahun 2012 berbanding 342,706 murid pada tahun ini.

12.       Bagi mencapai sasaran ini, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan strategi yang komprehensif dan bersepadu. Antaranya ialah menambah baik kurikulum prasekolah, termasuk menambah waktu interaksi dalam Bahasa Inggeris. Bilangan prasekolah juga akan ditambah dengan pembinaan 4,194 kelas prasekolah baru menjelang tahun 2012. Kerajaan juga menimbang untuk mewujudkan kemudahan prasekolah berpusat, kemudahan asrama dan pengangkutan kepada murid di luar bandar dan pedalaman. Di samping itu, pihak swasta akan digalakkan untuk menyediakan pendidikan prasekolah melalui pemberian insentif seperti geran dan pengecualian cukai.

13.       Selanjutnya, Kementerian Pelajaran akan menyediakan latihan yang komprehensif kepada guru prasekolah, termasuk guru-guru prasekolah swasta melalui pelbagai program latihan keguruan seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru Prasekolah. Bagi mengatasi masalah kekurangan guru terlatih di kawasan luar bandar dan pedalaman, pihak Kementerian akan memberikan keutamaan kepada kawasan berkenaan dalam proses penempatan guru, di samping mengambil calon-calon tempatan untuk dilatih sebagai guru prasekolah. Pihak Kementerian juga akan melaksanakan pelbagai program penerangan dan promosi, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, bagi membangkitkan kesedaran di kalangan ibubapa tentang kepentingan pendidikan prasekolah kepada perkembangan potensi anak-anak.

Kedua: Memantapkan penguasaan literasi dan numerasi murid

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
14.       Suka atau tidak, adalah amat merugikan jika terdapat kanak-kanak di negara kita yang mengikuti alam persekolahan tetapi masih gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) apabila meninggalkan bangku persekolahan. Makanya, Kerajaan telah mensasarkan agar semua kanak-kanak normal yang mengikuti alam persekolahan mesti menguasai ketiga-tiga kemahiran asas ini ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung tahun 2012.

15.       Dengan kaedah pengajaran yang berkesan, kemudahan pembelajaran yang mencukupi dan pelaksanaan pelbagai program meningkatkan penguasaan 3M seperti Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis, Program Pemulihan Kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (PROTIM), Program Bimbingan Kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (PROBIM) dan Program Pemulihan Khas, saya percaya bahawa masalah kegagalan menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi akan dapat dielakkan, sekali gus mengurangkan kadar keciciran dan tahap pencapaian pelajar yang rendah. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan mewujudkan 3,399 Kelas Pemulihan Khas di seluruh negara. Daripada jumlah ini, sebanyak 111 kelas (3.3%) telah siap dibina, 2,917 (85.9%) sedang dalam pembinaan dan 3 (0.1%) di peringkat prabina.

Ketiga: Mewujudkan sekolah berprestasi tinggi

16.       Bagi menggalakkan budaya kecemerlangan di sekolah, kerajaan mensasarkan 20 buah sekolah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2010. Pemilihan SBT akan dibuat berdasarkan tahap kecemerlangan akademik dan pencapaian pelajar termasuk disiplin, kebersihan, aktiviti ko-kurikulum dan penguasaan bidang keutamaan sekolah. Natijahnya ialah untuk menjadikan SBT sebagai penanda aras kecemerlangan kepada sekolah-sekolah lain, sekaligus melonjakkan pencapaian pelajar secara keseluruhan di negara ini.

Keempat: Memperkenalkan Bai’ah Baru (New Deal) kepada pemimpin sekolah

17.       Kerajaan juga akan memperkenalkan Bai’ah Baru atau New Deal dengan menawarkan ganjaran kewangan dan bukan kewangan kepada pemimpin dan pasukan pengurusan sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang. Tujuan diperkenalkan Bai’ah Baru ini ialah untuk memastikan setiap sekolah ditadbir secara profesional bagi meningkatkan tahap kecemerlangan sekolah. Pihak Kementerian akan menetapkan sasaran yang perlu dicapai oleh Pengetua dan Guru Besar di sekolah masing-masing pada setiap tahun penilaian bedasarkan lima aspek iaitu pencapaian akademik, kokurikulum, disiplin, iklim sekolah dan kepimpinan. Sasaran yang ditetapkan perlu dipersetujui secara bersama oleh Kementerian Pelajaran dan Pengetua atau Guru Besar.

Bidang Keberhasilan Utama Kementerian

18.       Di samping empat komponen kecil Bidang Keberhasilan Utama Negara yang telah saya sentuh tadi, Kementerian Pelajaran juga mempunyai dua komponen kecil bidang keberhasilan utama khusus untuk dicapai iaitu memperkasa pendidikan vokasional dan kemahiran serta memastikan semua sekolah mendapat bekalan elektrik 24 jam.

Pertama: Memperkasa pendidikan vokasional dan kemahiran

19.       Pendidikan vokasional adalah penting dalam usaha kita untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi. Dalam konteks ini, Mata Pelajaran Vokasional (MPV) menyediakan laluan kepada pelajar di sekolah menengah harian untuk mengikuti pendidikan kemahiran berbentuk hands-on. Untuk itu, Kementerian Pelajaran akan memperkasa pendidikan vokasional dengan mensasarkan penambahan sejumlah 300 bengkel vokasional di seluruh negara. Pada masa ini, sebanyak 144 buah bengkel (30%) telah siap dibina, 126 (26%) dalam pembinaan dan 30 (6%) pada peringkat prabina.

Kedua: Bekalan elektrik 24 jam di semua sekolah

20.       Bagi mencapai sasaran menyediakan bekalan elektrik 24 jam kepada semua sekolah pula, Kementerian Pelajaran telah memperluaskan Sistem Solar Hibrid kepada 78 buah sekolah di Sabah, di mana 87% daripadanya telah siap dibina. Sebanyak 103 buah sekolah lagi sedang berada di peringkat prabina. Di Sarawak, sejumlah 427 (99%) projek bekalan elektrik telah siap, sementara baki 3 projek masih dalam pembinaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
21.       Saya ingin menegaskan bahawa kesemua sasaran yang ditetapkan ini adalah sesuatu yang realistik dan boleh dicapai. Soalnya ialah sejauhmana kita sebagai warga pendidik bersedia untuk berusaha dengan gigih dan istiqamah dalam mencapai sasaran meningkatkan kualiti pendidikan negara. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

22.       Oleh itu, pelaksanaan NKRA menuntut amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa. Justeru, tugas besar yang menanti para warga pendidik ialah untuk menjayakan transformasi dan pembaharuan pendidikan dengan satu hasrat dan satu tekad bagi meningkatkan mutu pendidikan negara. Ini adalah satu amanah besar yang tergalas di bahu kita semua. Untuk itu, seluruh warga pendidik perlu saling bantu membantu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mulia ini, dengan hasrat untuk menghasilkan kejayaan secara kolektif. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

23.       Akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar baru kerajaan seiring dengan perkembangan terkini dalam dunia pendidikan hari ini. Sesungguhnya, selaku Menteri Pelajaran, saya amat menghargai sokongan dan kerjasama seluruh warga pendidik dalam menjayakan wawasan dan gagasan Kerajaan untuk meningkatakan kecemerlangan dan mutu pendidikan negara. Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. agar sentiasa diberikan kekuatan untuk menjunjung amanah perjuangan memartabatkan pendidikan negara.

24.       Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, saya merasmikan Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan, 2010-2012.
Wabillahi al-Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source:

http://www.moe.gov.my/?id=25&aid=433

Teks Ucapan YAB Tan Sri Muhiddin Bin Mohd. Yassin Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pelajaran Malaysia di Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Pendidik.

Sunday, November 15th, 2009

PADA 21 JULAI 2009, PUKUL 9.00 PAGI BERTEMPAT DI PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTER (PICC)

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

1. Pertama sekali saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya saya dapat bersama-sama dengan warga pendidik dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan pada pagi ini. Terima kasih saya ucapkan kepada tuan-tuan yang sudi meluangkan masa untuk hadir pada majlis ini yang memberi peluang kepada saya untuk membuat penjelasan mengenai beberapa pengumuman yang telah saya buat baru-baru ini berkaitan dengan dasar pendidikan di negara kita.

2. Sejak memegang tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri lebih 100 hari yang lepas, saya sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul sememangnya amat mencabar, apatah lagi apabila Kementerian Pelajaran juga merupakan teras utama tugas saya. Namun, saya juga sedar bahawa tugas paling mencabar yang telah diamanahkan oleh YAB Perdana Menteri ini merupakan satu penghormatan yang amat tinggi kepada saya. Menerajui sebuah kementerian yang bertanggungjawab dalam menjana modal insan negara sesungguhnya menuntut pewujudan sinergi mantap semua pihak, khasnya di kalangan warga pendidik, untuk bersama-sama meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.

3. Dalam memastikan sistem pendidikan sesebuah negara sentiasa relevan, Kerajaan perlu terus mengkaji dan menilai dasar pendidikan sedia ada. Justeru penggubalan dan pengumuman dasar-dasar dan strategi-strategi baru ke arah penambahbaikan sistem pendidikan yang berterusan bagi kepentingan negara dan rakyat perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Oleh yang demikian, selaras dengan gagasan yang telah diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri kita iaitu “1 Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”, maka beberapa dasar baru telah diperkenalkan, antaranya adalah penetapan had 10 mata pelajaran untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, pemerkasaan sukan sekolah, cadangan Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus untuk SPM dan pemansuhan PPSMI mulai tahun 2012.

4. Sehubungan itu, adalah amat penting bagi kita khasnya warga pendidik untuk memahami dan menghayati dasar-dasar baru yang telah diumumkan. Hanya dengan pemahaman yang mendalam, barulah kita warga pendidik dapat sebulat suara memberikan penjelasan kepada masyarakat umum agar ia tidak disalah tafsir dan dijadikan isu politik dangkal yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat kepada sistem pendidikan negara. Adalah lumrah bagi sesetengah kumpulan masyarakat sukar menerima sesuatu perubahan yang dicadangkan. Malahan, sebarang pembaharuan yang diperkenalkan di mana-mana tahap sekalipun akan sentiasa dipertikaikan.

5. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kepada tuan-tuan dan puan-puan berkenaan dengan beberapa pengumuman yang telah saya buat mengenai dasar dan strategi pendidikan di negara kita baru-baru ini. Pertamanya ialah penetapan had 10 mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula pada tahun 2010. Keputusan ini diambil setelah kerajaan mempertimbangkan implikasi trend di kalangan pelajar pada masa kini untuk mengambil jumlah mata pelajaran yang terlalu banyak dalam peperiksaan SPM. Sebagai contoh, bagi peperiksaan SPM pada tahun ini, seramai 48,784 atau 11.68 peratus calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran mendaftar lebih daripada 10 mata pelajaran.

6. Trend ini adalah tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk melakukan anjakan dalam sistem pendidikan kita, iaitu daripada sistem yang berorientasikan peperiksaan kepada sistem yang berorientasikan pentaksiran yang lebih menyeluruh, sejajar dengan amalan di negara-negara maju. Sistem pendidikan di negara kita tidak wajar dijadikan tempat perlumbaan untuk menguji keupayaan pelajar mengutip sebanyak mungkin pangkat A dalam sesuatu peperiksaan sehingga mengabaikan perkembangan potensi mereka secara holistik.

7. Keputusan mengehadkan 10 mata pelajaran ini adalah selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sementara pencapaian dalam peperiksaan boleh mengukur keupayaan kognitif pelajar, aspek soft-skills yang penting untuk meningkatkan daya kebolehkerjaan (employability) dan kebolehpasaran (marketability) pelajar kita dalam era globalisasi yang lebih kompleks dan kompetitif pada hari ini hanya boleh dinilai melalui satu sistem pentaksiran yang lebih menyeluruh. Oleh itu, Kementerian Pelajaran pada masa ini sedang dalam proses memperkenalkan satu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan yang bukan sahaja mengukur aspek keupayaan kognitif pelajar, tetapi juga aspek soft-skills yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti bina upaya insan (human capacity building) selaras dengan amalan di negara-negara maju.

8. Di samping itu, pihak Kementerian juga telah membuat penelitian secara terperinci dan mendapati bahawa jumlah 10 mata pelajaran adalah lebih daripada mencukupi untuk menilai potensi dan kemampuan sebenar pelajar untuk menguasai ilmu-ilmu teras yang penting dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Sesungguhnya, keputusan mengehadkan 10 mata pelajaran ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha kita untuk membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020.

9. Dengan mengehadkan 10 mata pelajaran bagi peperiksaan SPM, Kerajaan berharap agar tekanan peperiksaan yang berlebihan ke atas pelajar akan dapat dikurangkan, di samping memberi ruang kepada pihak pihak sekolah untuk mempergiatkan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dan sukan di luar waktu belajar. Aktiviti-aktiviti ini adalah penting untuk menggarap soft-skills para pelajar sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan potensi pelajar secara holistik. Sehubungan dengan ini juga, saya telah membuat pengumuman mengenai pemerkasaan semula sukan sekolah dengan mempergiatkan acara sukan peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Jurulatih sukan akan ditempatkan di sekolah-sekolah untuk mengurus acara sukan sekolah dan mencungkil bakat-bakat baru yang boleh dilatih untuk menyertai sukan prestasi tinggi. Untuk tujuan ini, satu Institut Pendidikan Guru khusus untuk melatih jurulatih-jurulatih sukan sekolah akan ditubuhkan.

10. Perkara Kedua ialah cadangan menetapkan syarat wajib lulus bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Saya menerima pelbagai maklumbalas daripada masyarakat umum sejak saya melontarkan cadangan ini pada bulan Jun yang lalu. Pada dasarnya ramai yang bersetuju dengan cadangan ini. Mereka berpandangan bahawa hanya dengan cara ini sahaja kita dapat memastikan pelajar-pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing dalam alam pekerjaan yang mementingkan penguasaan lebih daripada satu bahasa, iaitu bahasa Inggeris selain daripada Bahasa Kebangsaan atau bahasa ibunda yang lain.

11. Penguasaan bahasa Inggeris yang baik sudah tentu akan memberikan nilai tambah kepada palajar-pelajar kita untuk menceburkan diri dalam sektor ekonomi berpendapatan tinggi. Kerajaan juga sedar bahawa mempunyai sumber manusia yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik juga merupakan satu nilai tambah kepada negara dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang lebih kompetitif.

12. Oleh kerana itu, saya percaya bahawa sudah sampai masanya semua pelajar kita dipastikan dapat menguasai asas-asas bahasa Inggeris yang merupakan bahasa ilmu, bahasa maklumat, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Jika mereka dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, sudah tentulah mereka akan mendapat banyak kelebihan untuk bersaing dalam era globalisasi yang lebih kompetitif pada hari ini. Dengan meletakkan syarat wajib lulus bahasa Inggeris, Kerajaan berharap agar para pelajar akan melonjakkan usaha untuk lebih tekun mempelajari bahasa Inggeris dan berusaha dengan lebih gigih dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.

13. Pada masa yang sama, ada juga pihak yang melahirkan kebimbangan jika cadangan ini dilaksanakan sekarang, ramai pelajar terutamanya di luar bandar akan terkandas dalam pelajaran. Dalam peperiksaan SPM tahun 2008 misalnya, hanya 26.9 peratus calon di luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ini bermakna 73.1 peratus pelajar di luar bandar akan gagal memperolehi sijil sekiranya syarat wajib lulus bahasa Inggeris dilaksanakan. Kerajaan sedar bahawa ini adalah satu jumlah yang besar, dan ia juga menunjukkan bahawa pencapaian bahasa Inggeris pelajar-pelajar di luar bandar adalah amat rendah.

14. Dalam menghadapi cabaran era globalisasi yang semakin kompetitif pada hari ini, kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang, melayani pandangan kedua dan berhenti daripada melakukan perubahan dan pembaikan. Kita tidak boleh mengambil pendekatan “levelling down” dalam usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara kita. Sebaliknya, kita perlu berani untuk mengambil pendekatan “levelling up”, iaitu berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan keupayaan pelajar-pelajar yang lemah dalam menguasai sesuatu ilmu, sehingga mereka boleh menguasai ilmu itu dengan baik. Jika kita yakin bahawa perubahan dan pembaikan adalah penting untuk meningkatkan mutu pendidikan negara, dan sekali gus melonjakkan kemajuan negara pada masa hadapan, kita perlu berani melakukannya sekarang.

15. Dalam konteks penguasan bahasa Inggeris, syarat wajib lulus bahasa Inggeris adalah usaha “levelling up” yang akan mengangkat upaya pelajar-pelajar kita, terutamanya pelajar-pelajar di luar bandar, untuk menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik, dan sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang semakin kompetitif. Walaupun Kerajaan masih belum membuat keputusan akhir mengenai perkara ini, usaha-usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, terutamanya di kalangan pelajar di luar bandar mesti bermula dari sekarang.

16. Perkara ketiga yang ingin saya sentuh pada hari ini ialah keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012, dan pada masa yang sama mengambil langkah-langkah drastik untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Pemansuhan PPSMI ini walau bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi. Keputusan ini adalah lambang iltizam dan komitmen Kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita dengan mengambil langkah-langkah yang wajar untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, dan pada masa yang sama memantapkan penguasaan bahasa Inggeris.

17. Dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, dan bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran ini. Strategi Ini mengambil kira fakta yang disokong oleh kajian-kajian saintifik bahawa peningkatan kefahaman pelajar mengenai konsep-konsep sains dan matematik adalah berkait rapat dengan penggunaan bahasa pengantar yang mudah difahami oleh mereka. Pada masa yang sama, kita percaya bahawa peningkatan penguasaan bahasa Inggeris boleh dicapai melalui penambahbaikan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

18. Pada kesempatan ini saya ingin mengemukakan data-data emprikal yang menjadi asas kepada keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI. Pertama, data-data rasmi menunjukkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik merosot semasa pelaksanaan PPSMI. Dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2008, hanya 79.7 peratus pelajar luar bandar lulus mata pelajaran Sains berbanding 83.2 peratus pada tahun 2007. Bagi pelajar bandar pula, peratusan lulus telah merosot daripada 85.1 peratus pada tahun 2007 kepada 82.5 peratus pada tahun 2008.

19. Bagi mata pelajaran Matematik pula, pencapaian lulus murid di bandar telah merosot daripada 84.8 peratus pada tahun 2007 kepada 80.9 peratus pada tahun 2008. Pencapaian murid di luar bandar juga merosot daripada 80.9 peratus pada tahun 2007 kepada 77 peratus pada tahun 2008. Ini bermakna hampir 170,000 orang pelajar gagal bagi kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains di peringkat UPSR semasa PPSMI dilaksanakan.

20. Kegagalan menguasai Matematik dan Sains di peringkat rendah sudah tentu akan menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar ini dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut di peringkat menengah, dan sekali gus menjejaskan hasrat kita untuk menjana modal insan yang memiliki ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi, sebagai wahana penting untuk melonjakkan kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi.

21. Kedua, kajian dan pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran dan juga para penyelidik bebas mendapati bahawa pelajar yang memiliki tahap penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana dan lemah menghadapi kesukaran untuk memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dalam peperiksaan UPSR 2008, 30.6 peratus pelajar luar bandar gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka masih berada di tahap yang lemah. Ini menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

22. Hasil pemantauan Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru menghadapi masalah untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Hanya 8.6 peratus guru menggunakan lebih 90 peratus masa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris adalah jauh lebih rendah bagi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Inggeris yang amat rendah di kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman. Keadaan ini memaksa guru-guru untuk menggunakan dwi-bahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, dalam pengajaran Sains dan Matematik. Soalan peperiksaan juga terpaksa dibuat dalam dwi-bahasa kerana masalah penguasaan bahasa Inggeris yang rendah di kalangan pelajar. Justeru, apa yang dilaksanakan sejak enam tahun yang lalu bukanlah PPSMI, tetapi PPSMI/BM. Guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Hanya segelintir pelajar yang dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dengan baik, dan mereka ini ialah pelajar-pelajar yang telah menguasai bahasa Inggeris dengan cemerlang. Berdasarkan pemantauan Kementerian Pelajaran, kelompok pelajar ini tidak lebih 8 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar di negara ini.

23. Berdasarkan realiti ini, Kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami double jeopardy. Kajian saintifik menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka tidak meningkat, dan pada masa yang sama mereka juga gagal menguasai konsep-konsep asas Sains dan Matematik. Sekiranya keadaan ini berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi knowledge deficit di kalangan pelajar, di mana pelajar-pelajar yang gagal menguasai konsep-konsep asas sains dan matematik oleh kerana halangan bahasa, akan menghadapi masalah untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik di peringkat yang lebih tinggi. Keadaan ini tentunya akan mendatangkan kesan negatif kepada pembangunan modal insan di negara kita dalam jangkamasa panjang.

24. Ketiga, kajian di peringkat antarabangsa, termasuk oleh UNESCO, yang memperakukan bahawa bahasa yang mudah difahami oleh pelajar, seperti bahasa ibunda, adalah bahasa terbaik untuk dijadikan bahasa pengantar, terutamanya di peringkat rendah. Laporan Education for All Global Monitoring Report 2009 yang dikelolakan oleh UNESCO memperakukan kepentingan menyediakan pendidikan dalam bahasa ibunda sebagai kunci kepada kejayaan pendidikan. Laporan ini memetik satu kajian yang melibatkan 22 buah negara dan 160 kumpulan linguistik yang mendapati bahawa kehadiran murid ke sekolah meningkat sebanyak 10 peratus bagi sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, khususnya di peringkat pendidikan rendah.

25. Dapatan ini adalah selari dengan dapatan yang diperolehi oleh kumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendapati bahawa kebanyakan pelajar yang lemah dan sederhana dalam menguasai bahasa Inggeris, terutamanya di kawasan luar bandar, tidak menunjukkan minat untuk mempelajari Matematik dan Sains ketika dasar PPSMI dilaksanakan.

26. Selain daripada itu, laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 (TIMMS) juga mendapati bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding negara-negara yang tidak menggunakan bahasa ibunda. Lebih daripada itu, UNESCO juga memperakukan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda adalah faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian matlamat Education for All, iaitu matlamat untuk menyediakan akses, ekuiti dan kualiti dalam pendidikan kepada semua tanpa mengira perbezaan bahasa, lokaliti, taraf sosio-ekonomi dan gender.

27. Berdasarkan dapatan-dapatan ini, Kerajaan yakin bahawa keputusan memansuhkan PPSMI adalah satu keputusan yang tepat dan merupakan satu langkah ke hadapan dalam menambahbaik kualiti pendidikan di negara ini. Keputusan ini sesungguhnya mengambilkira kepentingan pelajar serta matlamat membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi demi kepentingan negara pada masa depan. Keputusan ini juga adalah selaras dengan amalan pendidikan terbaik di peringkat antarabangsa.

28. Justeru, ingin saya tegaskan di sini bahawa keputusan memansuhkan PPSMI bukanlah satu keputusan politik, malah ianya memerlukan iltizam politik (political will) yang tinggi untuk dilaksanakan. Pendidikan anak-anak adalah sesuatu yang cukup besar dan bermakna bagi sesebuah negara untuk dipolitikkan. Kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan sekali-kali memperjudikan nasib anak bangsa dan masa depan negara semata-mata untuk meraih keuntungan politik sempit.

29. Pemansuhan PPSMI tidak bermakna Kerajaan mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris. Sebaliknya, penguasaan bahasa Inggeris pelajar akan dipertingkatkan dengan beberapa langkah menambahbaik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Saya telah pun menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar ketika membuat pengumuman mengenai strategi “Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” (MBMMBI) baru-baru ini. Ini termasuklah menambah bilangan guru bahasa Inggeris, menambah waktu belajar bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan, memperkenalkan program sastera kontemporari kanak-kanak untuk mengukuhkan asas penguasaan bahasa Inggeris di peringkat umur yang awal, memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, menekankan komponen tatabahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dan mendedahkan pelajar dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

30. Pihak Kementerian juga telah bersetuju untuk mewujudkan lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Inggeris khusus untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris. Kementerian juga secara dasarnya telah bersetuju untuk menempatkan guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru yang akan diambil dari luar negara di kawasan luar bandar bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar luar bandar. Insentif khusus akan diberikan kepada guru-guru bahasa Inggeris yang bersedia untuk berkhidmat di luar bandar. Jawatan pembantu guru bahasa Inggeris juga akan diwujudkan bagi kelas besar, seperti kelas yang melebihi 35 orang murid, untuk meningkatkan “contact-time” antara guru dan murid. Dengan mewujudkan jawatan guru pembantu bahasa Inggeris ini, tumpuan yang lebih boleh diberikan kepada pelajar-pelajar yang lemah penguasaan bahasa Inggeris. Mereka ini boleh dibimbing secara lebih dekat untuk membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.

31. Dengan melakukan penambahbaikan secara menyeluruh dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, disertai dengan komitmen para guru untuk menggunakan kaedah terbaik dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, Kerajaan menaruh keyakinan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita akan meningkat. Untuk mencapai matlamat ini, warga pendidik perlu melakukan lonjakan berganda untuk menterjemahkan dasar dan strategi pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan. Kita sesungguhnya tidak mempunyai banyak masa untuk mencapai matlamat penting ini. Keupayaan negara untuk melahirkan modal insan yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan kompeten terletak di bahu warga pendidik.

32. Pemantapan penguasaan bahasa Inggeris perlu bergerak seiring dengan pengukuhan penguasaan bahasa Malaysia. Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas Bahasa Malaysia di kalangan pelajar melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Penekanan juga akan diberikan kepada penghayatan dan apresiasi kesusasteraan Melayu bagi pelajar di peringkat sekolah menengah. Keputusan mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memperkukuh dan memartabatkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dalam sistem pendidikan negara. Dengan pelaksanaan keputusan ini komponen Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di Tahap 1 sekolah kebangsaan meningkat daripada 60 peratus kepada 75.6 peratus, manakala di Tahap 2 meningkat daripada 60 peratus kepada 80 peratus. Peningkatan yang sama juga berlaku di peringkat sekolah menengah.

33. Melihat ke hadapan, dasar “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran pada ketika ini sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti. Satu pendekatan soft-landing akan diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar PPSMI tidak akan terjejas.

34. Pihak Kementerian juga telah membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel dan penerangan. InsyaAllah, berkat kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat mencapai matlamat menambahbaik kualiti pendidikan di negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan negara.

35. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada warga pendidik yang telah menyatakan sokongan padu kepada dasar-dasar dan strategi baru yang telah saya umumkan. Sesungguhnya, sebagai Menteri Pelajaran, saya amat mengharap dan menghargai sokongan dan dokongan padu warga pendidik untuk merealisasikan wawasan dan gagasan Kerajaan dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.

36. Akhirnya, saya ingin mengajak seluruh warga pendidik untuk bersama-sama mara ke hadapan, memperkukuhkan iltizam dan melakukan lonjakan berganda untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di negara kita.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam hormat.

Source:

Majlis Perasmian Bengkel Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010

Sunday, November 15th, 2009

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HJ. MOHD YASSIN

TIMBALAN PERDANA MENTERI

MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

DI MAJLIS PERASMIAN BENGKEL KAJIAN SEMULA PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, 2006-2010

PADA 20 JULAI 2009, PUKUL 11.30 PAGI

DI HOTEL PAN PACIFIC, KLIA

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

1. Terlebih dahulu saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya kita dapat berkumpul dalam Persidangan Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010. Sesungguhnya persidangan ini amat penting kerana penilaian, kajian, analisis dan usaha penambahabaikan terhadap pelaksanaan PIPP akan menentukan keberkesanan dan kejayaan misi dan visi Kementerian Pelajaran Malaysia serta pelan perancangan strategik Kementerian.

2. Saya amat berharap agar bengkel ini akan dijadikan wadah bagi memperinci, mengkaji dan membuat analisis tahap pelaksanaan dan pencapaian PIPP setakat ini. Justeru, persoalan seperti adakah pelaksanaan PIPP masih relevan dalam konteks pendidikan masa kini yang sentiasa dinamik perlu dijawab, begitu juga dengan aspek penambahabaikan yang perlu dibuat dalam konteks penyesuaian kepada dasar-dasar baru yang diumumkan oleh Kerajaan. Kita juga harus sentiasa berada di atas landasan dua pendekatan yang digunakan dalam mereliasasikan PIPP, iaitu i) menyamaratakan peluang pendidikan kepada semua; dan ii) melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan yang telah sedia cemerlang dengan mewujudkan kluster kecemerlangan, yang mana kedua-duanya sememangnya selaras dengan hala tuju dan aspirasi kerajaan masa kini.

3. Kita sedia maklum bahawa pendidikan merupakan aspek utama bagi mewujudkan satu masyarakat yang berpengetahuan, berketrampilan, mempunyai jati diri, progresif, kreatif, dan berinovatif selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Justeru, peningkatan berterusan kualiti pendidikan adalah kunci kepada kejayaan dan pembangunan sesebuah negara. Negara kita perlu melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang berupaya bersaing di persada dunia yang semakin mencabar dan kompleks. Kualiti murid hasil daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan harus mampu memenuhi tuntutan semasa dan masa hadapan. Justeru, keperluan seseorang individu yang telah melalui sistem pendidikan negara menguasai sekurang-kurang tiga Q (quotient) iaitu Intelectual Quotient (IQ), Emotional Quotient (EQ) dan Spiritual Quotient (SQ) harus menjadi natijah paling minimum selaras dengan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

4. Teras merapatkan jurang pendidikan amat penting bagi usaha melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri seterusnya menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Melalui pendidikan, pengasingan sosial akan dapat dikurangkan demi mengelakkan ketidaksamarataan sosial. Kementerian Pelajaran telah mengemukakan program yang berbeza tetapi dilaksana secara bersepadu untuk mencapai hasrat ini. Antaranya termasuklah melengkapkan sekolah dengan infrastruktur dan infostruktur; meningkatkan pendidikan guru dan latihan yang menekankan kemahiran teknologi maklumat; peluang pembelajaran elektronik dan jarak jauh; serta menyediakan sumber pembelajaran digital agar pelajar dapat mengambil kesempatan untuk mengakses maklumat dan pengetahuan.

5. Antara keutamaan Kerajaan ialah untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar. Penyediaan prasarana pendidikan yang baik adalah kunci kepada peningkatan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan di luar bandar. Di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Kementerian Pelajaran mensasarkan pelaksanaan 13,014 projek pembangunan luar bandar yang melibatkan kos RM25.2 bilion. Sehingga Disember 2008, sebanyak 6,386 projek telah berjaya disiapkan. Kerajaan juga memberikan keutamaan kepada penyediaan kemudahan prasekolah untuk kanak-kanak luar bandar termasuk anak-anak orang Asli dan Penan dengan menyediakan 2,348 kelas prasekolah di luar bandar. Untuk merapatkan jurang digital pula, Kementerian Pelajaran telah memberikan tumpuan kepada penyediaan infrastruktur, perisian dan latihan ICT dengan mensasarkan pembinaan 2,257 makmal komputer dan 3,600 Pusat Akses di luar bandar. Kesemua projek pembangunan ini akan memberi manfaat kepada lebih 2.8 juta murid di luar bandar.

6. Usaha Kerajaan merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar adalah selaras dengan matlamat Pendidikan Untuk Semua (Education for All) yang disasarkan oleh UNESCO. Negara kita telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam mencapai matlamat ini. Education for All Global Monitoring Report 2009 yang dikelolakan oleh UNESCO meletakkan Malaysia pada kedudukan 45 daripada 129 negara dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua (EDI), sekaligus menempatkan Malaysia di kalangan 56 negara yang berada di kedudukan aras tinggi. Ini bermakna aspek akses, ekuiti dan kualiti pendidikan di negara kita berada pada tahap yang baik.

7. Walaupun pendidikan di Malaysia telah mencapai tahap kemajuan yang memberangsangkan, usaha berterusan hendaklah dilaksanakan bagi meningkatkan lagi tahap akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Walaupun penyertaan pada pendidikan rendah adalah tinggi, lebih 125,000 orang kanak-kanak di negara ini yang telah mencapai umur persekolahan peringkat rendah masih tidak mengikuti alam persekolahan. Kebanyakan kanak-kanak ini adalah mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil. Oleh itu, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi memastikan semua murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mendapat akses kepada pendidikan. Kementerian Pelajaran juga perlu melipatgandakan usaha untuk menyediakan infostruktur, terutamanya kepada sekolah luar bandar, untuk merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar. Dasar semasa sektor pendidikan haruslah bukan sekadar menokok tambah akses digital tetapi juga memahirkan pengguna dengan kemahiran belajar yang diperlukan untuk mengakses pelbagai teknologi maklumat sedia ada.

8. Memastikan kanak-kanak yang telah mencapai umur persekolahan mendapat akses kepada pendidikan adalah satu usaha yang murni. Tetapi lebih daripada itu, matlamat utama pendidikan ialah untuk mempersiapkan murid dengan ilmu, kemahiran dan persepektif yang membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang semakin kompleks dan kompetitif. Menyediakan pendidikan yang berkualiti adalah kunci kepada pencapaian matlamat ini. Oleh itu, Kementerian Pelajaran perlu memperteguhkan iltizam dan melakukan lonjakan usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara. Ini termasuklah dengan menyediakan kurikulum dan buku teks yang berkualiti, memantapkan latihan guru, mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan memastikan murid mengikuti pembelajaran dalam bahasa yang mereka fahami. Kesemua ini adalah elemen penting dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

9. Pendidikan merupakan tunjang dan wadah terpenting kepada pembinaan negara bangsa dan pembangunan modal insan. Pendidikan merupakan wahana untuk menyemai dan memupuk benih perpaduan dalam kalangan warga Malaysia, khususnya generasi muda. Pendidikan juga merupakan pemangkin utama yang mampu mendidik anak bangsa Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melewati sempadan kaum masing-masing. Pendidikan yang sentiasa dinamik perlu terus maju ke hadapan. Oleh itu melalui bengkel ini, saya berharap agar penekanan diberikan kepada gagasan YAB Perdana Menteri iaitu “1 Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” dan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) iaitu “Memperluas Akses Pendidikan kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan” dalam menilai semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

10. Gagasan 1Malaysia merupakan kesinambungan daripada matlamat pendidikan sepertimana yang digariskan dalam Laporan Razak, iaitu menjadikan pendidikan kebangsaan sebagai satu wahana untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan melalui pendidikan turut digariskan dalam Teras Membina Negara Bangsa dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010. Saya berharap agar teras membina negara bangsa berdasarkan gagasan 1Malaysia akan terus diberi penekanan dalam perancangan pendidikan di negara kita.

11. Pendidikan di Malaysia juga memerlukan perubahan sejajar dengan perkembangan ekonomi dunia. Pendidikan kita perlu mampu melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif dan inovatif selaras dengan matlamat Model Ekonomi Baru Malaysia. Modal insan yang dilahirkan daripada sistem pendidikan kita harus mampu menjadi penggerak utama dalam memastikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 dapat dicapai.

12. Sistem pendidikan kita juga perlu sentiasa bersiap siaga untuk melakukan anjakan paradigma seperti yang digariskan oleh YAB Perdana Menteri kita iaitu i) anjakan daripada ketegaran kepada keanjalan; ii) anjakan daripada budaya kesan nyata (output) kepada budaya keberhasilan (outcome); iii) anjakan daripada birokrasi menyusahkan kepada birokrasi memudahkan dan akhir sekali; iv) anjakan daripada produktivi semata-mata kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi bagi menghasilkan kejayaan secara lonjakan berganda. Untuk itu, warga pendidik perlu sentiasa memaksimumkan daya kreativiti dan inovasi serta menyemai budaya ini dalam kalangan generasi muda di sekolah.

13. Dalam kita menangani cabaran era globalisasi, para pendidik harus sedar bahawa komitmen dan iltizam perlu dilipatgandakan bagi menghadapi dan menangani gelombang perkembangan dan perubahan yang kita depani. PIPP juga perlu menyisipkan unsur futuristik berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi. Justeru, perlu diingatkan anjakan ini tidak akan berlaku sekiranya tidak dimulakan oleh pemimpin organisasi dari peringkat Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah. Oleh itu setiap pemimpin perlu sama-sama merealisasikan mandat ini. Bermula daripada pihak pemimpin paling atas, sehinggalah ke tahap pegawai di Kementerian Pelajaran serta guru di sekolah yang merupakan pelaksana dasar, adalah penting bagi kita untuk melakukan perubahan minda dan sikap yang lebih positif dan reseptif. Malah kadar kepantasan yang biasa dilakukan dalam menyempurnakan tugas tidak lagi berupaya memenuhi permintaan perubahan zaman dan arus globalisasi yang deras. Kesuntukan masa menuntut kita melakukan tugas dan tanggungjawab dengan membuat leap-frog ataupun lonjakan berganda.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

14. Secara keseluruhan, hampir 300 pelan tindakan dalam kesemua teras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan telah berjaya mencapai 80 hingga 100 peratus sasaran pelaksanaannya. Untuk pelan tindakan yang masih belum mencapai sasaran saya berharap agar setiap bahagian yang terlibat mengenalpasti segala cabaran dan kekangan, dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan keseluruhan matlamat PIPP dapat dicapai.

15. Walaupun pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan telah berjalan lancar dan hampir mencapai sasarannya, saya percaya masih ada lagi program dan projek dalam Pelan Induk ini yang perlu kita perkemaskan dan melakukan penambahbaikan. Justeru, dalam menilai semula perancangan yang sedia ada serta merangka pelan strategik untuk Rancangan Malaysia Ke-10, saya mencadangkan supaya tumpuan diberikan kepada perkembangan pendidikan di peringkat global, keperluan semasa, gagasan “1 Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” serta merealisasikan apa yang digariskan dalam KPI Menteri Pelajaran. Antara saranan saya adalah:

(i) Pertama, penekanan atau keutamaan dalam melahirkan guru yang berkualiti dan mencukupi untuk ditempatkan terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar. Justeru, satu dasar penempatan guru yang responsif kepada keperluan rakyat perlu disediakan. Selain guru, kualiti pemimpin sekolah juga perlu dimantapkan. Sudah tiba masanya pemilihan para pemimpin sekolah dilakukan bukan sahaja berdasarkan kekananan, tetapi juga melalui proses yang lebih telus dan luwes serta memilih yang terbaik, berbakat dan mempunyai kualiti kepimpinan yang dinamik. Pemimpin sekolah perlulah seorang yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi, cemerlang, komited, di samping berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat menterjemahkan dasar pendidikan dalam tugas harian dan seterusnya mampu memberikan didikan yang terbaik kepada murid;

(ii) Kedua, meneruskan usaha melahirkan modal insan yang berpengetahuan, produktif, kreatif dan inovatif. Tumpuan utama perlu diberikan kepada usaha melahirkan semua pelajar yang holistik serta mempunyai profiensi yang tinggi dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Justeru PIPP juga perlu menzahirkan bahawa pendidikan merupakan wahana kepada pencapaian matlamat membina masyarakat Malaysia yang berintegriti, bermoral dan beretika. Maka, matlamat dan strategi PIPP perlu berfokus kepada melahirkan pelajar yang cemerlang dan potensinya berkembang secara seimbang seiring dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan;

(iii) Ketiga, meneruskan pembangunan infrastruktur. Usaha ini perlu diteruskan memandangkan masih terdapat sekolah-sekolah yang daif dan usang, tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih serta perlu dinaiktaraf terutama di kawasan pedalaman. Justeru, pembangunan infrastruktur perlu diteruskan bagi kawasan yang memerlukan.

(iv) Keempat, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan warga pendidik dengan mewujudkan Kem 1Malaysia pada setiap tahun. Dalam kem ini, harapan saya supaya lapan nilai konsep 1Malaysia akan dapat disemai dan ditanam kepada kesemua peserta dan seterusnya dapat mencapai matlamat gagasan 1Malaysia dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

16. Oleh yang demikian, gunakanlah sepenuhnya bengkel ini untuk berwacana, berbincang dan bertukar pandangan secara ilmiah bagi menganalisis, memperhalusi, mengenal pasti dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan yang konkrit dan bernas untuk menambahbaik, memantap dan menyelesaikan PIPP sedia ada serta menggariskan perancangan untuk Rancangan Malaysia Ke10.

17. Sesungguhnya kejayaan PIPP yang akan kita saksikan pada tahun 2010 nanti sangatlah penting. Ia adalah bukti kegigihan, komitmen dan kecemerlangan warga Kementerian Pelajaran dalam merangka dan melaksanakan pembangunan pendidikan negara. Di samping itu, PIPP juga merupakan penunjuk prestasi dan kayu ukur tentang kewibawaan sistem pendidikan kita dalam mengharungi cabaran semasa.

18. Akhirnya, sekali lagi saya tegaskan bahawa tanggungjawab membangunkan pendidikan negara merupakan satu amanah besar yang perlu digalas oleh kita semua. Tugas ini menuntut curahan idea dan kepakaran, pengorbanan masa dan tenaga serta komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Oleh itu lipat gandakanlah usaha dan bekerjalah dalam satu pasukan supaya pembangunan dan kecemerlangan pendidikan dapat terus kita martabatkan demi masa depan negara.

19. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan bengkel ini, khususnya kepada pihak urusetia. Terima kasih dan penghargaan juga kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri atas kehadiran tuan puan untuk menyumbang idea dan kepakaran bagi menambahbaik dan memantapkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan kita.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahin saya merasmikan Bengkel Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010.

Wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum wabarakatuh dan salam hormat.

Source:

http://www.moe.gov.my/?id=25&aid=301

Statement by Deputy Prime Minister cum Minister of Education on the recommendations and conclusions of the 17th CCEM

Sunday, November 15th, 2009

Malaysia is honoured to be the host of the Commonwealth Conference of Education Ministers which is one of the most important international education meetings. This conference is held every 3 years. This year is also the 50th anniversary of the first CCEM. The overarching theme of this year’s conference is Education in the Commonwealth: Towards and Beyond Global Goals.

This year’s conference is unique in the sense it is a five in one conference. We have a ministerial meeting, a senior officials’ meeting and four forums. It is the biggest CCEM so far with the addition of a Vice Chancellors Forum. In total the forums have invited the participation of 807 delegates. Overall the conference has a total of 1049 participants, including ministers and senior officials.

Malaysia is pleased to state that the recommendations submitted by the different Forums at the 17th Commonwealth Conference of Education Ministers held from 15th to the 18th June 2009 are consistent with our education policy and basic principles that guided the formulation of our Education Development Plan.

All the countries that attended this meeting concur that education is the key to human capital development, one of the key tenets in our Education Development Blueprint. As mentioned by our Prime Minister in his opening speech, Malaysia views education as a very important agenda. We must optimize the potential of every citizen and put within reach the promise of the Malaysian dream. We are committed to the implementation of the new economic model as envisaged by our Prime Minister.

Towards this end more than a fifth of our budget annually is geared towards education and the development of human capital. In the 2009 budget for instance RM 47.7 Billion or 23 percent is put aside for this purpose. The bulk of this figure RM 31 Billion is allocated for the Ministry of Education with another RM 14.1 Billion going to the Ministry of Higher Education

The inclusion of a Vice Chancellors Forum is indicative of our concern for enhancing the quality of education at the tertiary level and our commitment to the provision of quality education and for a quality workforce. This is a collective concern for all countries in the Commonwealth. Our universities in Malaysia, judging by the engagement of our vice chancellors from both private and public universities demonstrates no less our concern for quality education.

Likewise the Teachers Forum invited participation from teachers, principals and school leaders from both private and public sectors with nearly 200 delegates. There was unison in concerns for a quality teaching force from pre-school to tertiary levels. There was also collective concern for equity of access to quality teaching for all and that education is a basic right.

Consistent with this we concur that no child should be left behind irrespective of geographical location, gender and ability. Every child should have equity of access to quality education at all levels. As a multiracial, multicultural and multilingual country we recognize the diversity of cultures and languages in all our policies. This is the collective voice from all our stakeholders.

Likewise, the ministry has already put in place policies that ensure every child has equity of access to quality education consistent with the Millennium Development Goals and the EFA goals. We recognize that there are differences in achievements between rural and urban schools. Strategies have been designed and implemented to bridge the rural-urban divide ensuring that every child has access to quality teaching in schools. We believe that education will make a difference to the lives of our rural children.

One major concern that was discussed at length was the need to take account of global trends in view of the current global meltdown. Ministers and delegates urged the Commonwealth Secretariat to pursue its focus on advancing education in small states through a variety of capacity building initiatives in addition to its pursuit for quality and improvement in the professional states of teachers. There was concern that budgets for education must be maintained.

Ministers listened and responded to the voices of the youths attending the Youth Forum. It was very insightful experience for all given that our youths wanted more engagement in policy planning. This is certainly something for all of us to think about.

We hope the Commonwealth Secretariat and all member countries will take home the Kuala Lumpur Communique for further action. We hope to hear more successful stories at the 18th CCEM in 2012 at ……..
Malaysia would like to take this opportunity to thank all our friends from the Commonwealth for their attendance at this conference. We are pleased to say that this conference has invited a high level of participation from 40 countries out of the 53 Commonwealth countries. Of these 37 are represented by ministers and the rest are high officials.

Finally, on behalf of my government I would also like to thank the Commonwealth Secretariat for their cooperation in making this conference a reality. We have been in contact for nearly two years to plan for this conference. Last but not least to all our staff in the Ministry of Education and the Ministry of Higher Education for their great teamwork and commitment in the organization of this conference.
Thank you.

Source:

http://www.moe.gov.my/?id=25&aid=237

Perutusan Hari Guru Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Sempena Perayaan Hari Guru 2009 – Guru Pembina Negara Bangsa

Sunday, November 15th, 2009
PERUTUSAN HARI GURU
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2009
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera

Tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik yang dihormati sekalian,

1. Alhamdullilah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, sekali lagi kita dapat menyambut perayaan Hari Guru pada 16 Mei 2009. Pada hari ini, kita akan bersama-sama merayakan hari yang amat istimewa bagi setiap warga pendidik. Semenjak tahun 1972, sambutan Hari Guru merupakan hari yang sangat bermakna buat kita bagi menghargai sumbangan, komitmen dan pengorbanan warga guru dalam pembinaan perpaduan dan integrasi, pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat untuk membentuk anak-anak bangsa menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

2. Sehubungan itu suka saya nyatakan di sini, tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” amat sesuai dan bertepatan dengan tuntutan persekitaran yang menuntut pembangunan
warganegara sejak awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya juga kesenian bangsa. Dalam masa yang sama, anak-anak didik juga perlu dipersiapkan agar bersedia menghadapi cabaran dan ancaman globalisasi serta liberalisasi. Justeru, para guru perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik pada setiap masa bagi memenuhi keperluan dan harapan negara ke arah membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika serta memupuk dan menanamkan sifat toleransi dalam kalangan pelajar bagi
melahirkan masyarakat bersatu padu yang harmoni dan bertolak ansur.

3. Saya percaya peranan guru sebagai jurutera sosial dan agen perubahan adalah sangat dituntut demi mencapai matlamat yang diingini oleh negara. Sebagaimana yang kita maklum, peranan guru bukan sahaja mengajar mata pelajaran yang ditugaskan tetapi juga mendidik minda dan membina sahsiah pelajar. Masa hadapan pelajar, malah masa hadapan bangsa dan negara adalah ditentukan oleh corak didikan yang disemai oleh guru-guru hari ini. Menyedari hakikat tersebut, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah menetapkan ‘Membina Negara Bangsa’ sebagai satu daripada enam teras utama bagi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Di bahu gurulah terletaknya tanggungjawab dan harapan untuk membangunkan modal insan dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia yang maju.

Guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian,

4. Saya ingin menegaskan bahawa guru sebagai pendidik telah terbukti memainkan peranan utama dalam membina negara bangsa. Para guru perlulah berfikiran global dan bertindak secara terarah dengan menjadikan
bidang keguruan sebagai wadah untuk membentuk warganegara dengan ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia. Adalah menjadi harapan masyarakat, para guru memainkan peranan membentuk jati diri murid
yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat, seterusnya menjadikan anak didik sebagai warganegara glokal yang mampu bersaing seiring dengan
kepesatan dunia. Justeru, negara akan hilang daya saing dan ketinggalan dari kemajuan global sekiranya para guru tidak menjalankan tugas secara jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab.

5. Dalam usaha meningkatkan perpaduan berbilang kaum, di peringkat awal persekolahan lagi kita telah memupuk jati diri murid melalui kurikulum, program ko-kurikulum dan sukan. Sehubungan itu, guru sebagai pendidik
perlu memastikan diri mereka bersedia untuk berusaha lebih inovatif, proaktif, mampu mencipta kelainan dan menjadi contoh teladan yang baik untuk memupuk nilai-nilai jati diri kepada murid-murid menerusi proses
pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini tentunya menuntut perancangan dan pelaksanaan yang cekap daripada para guru agar pendidikan mampu menjadi wahana perpaduan yang berkesan.

6. Di samping itu, kecekapan dan keberkesanan guru juga dituntut menerusi aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan semangat patriotik, menanamkan sifat hormat-menghormati dan peka terhadap sensitiviti
masyarakat pelbagai kaum. Pelaksanaan program-program ini menuntut kerjasama dan komitmen guru untuk menerapkan elemen perpaduan dan ini membuktikan bahawa sekolah adalah tapak semaian yang terbaik untuk
menyuburkan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru atas kerjasama dan komitmen yang
telah diberikan selama ini. Saya percaya para guru akan sentiasa berusaha dan beriltizam untuk melonjakkan kecemerlangan sistem pendidikan agar ianya mampu melahirkan negara bangsa mengikut acuan kita.

7. Seterusnya dalam dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar ini, negara amat memerlukan modal insan berkualiti yang boleh menggalas aspirasi serta misi nasional ke arah mencapai status negara maju
menjelang tahun 2020. Dalam konteks ini, sebagai pendidik yang berdedikasi dan sentiasa bersedia menerima perubahan, guru adalah pemangkin kepada transformasi yang diperkenal dan dilaksanakan oleh
Kementerian Pelajaran dalam memenuhi agenda pendidikan ke arah melahirkan modal insan yang memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang
dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

Guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian,

8. Akhir kata sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya berharap agar warga guru hendaklah sentiasa mempunyai sifat dedikasi dan komited semasa menjalankan tugas masing-masing. Segala yang tuan-tuan dan puan-puan lakukan adalah demi kepentingan pendidikan anak-anak kita, demi melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berketerampilan. Ketepikan kepentingan diri, berkhidmatlah dengan penuh jujur dan ikhlas serta sentiasa menjaga integriti dan nama baik. Sekiranya warga guru tidak mempunyai integriti dan keikhlasan yang tinggi, bagaimana kita mengharapkan generasi yang baik dan berkualiti hasil daripada acuan didikan kita akan dapat dikeluarkan.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. Selamat Hari Guru.


DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Perutusan Menteri Pelajaran Sempena Perayaan Hari Guru 2009 – Guru Pembina Negara Bangsa.

Sunday, November 15th, 2009
PERUTUSAN
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2009
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

1. Marilah kita semua merafakkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru bagi tahun 2009. Pada tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai penghormatan jasa kaum guru dan tanda ucapan terima kasih kepada mereka. Penghormatan ini amat layak diberikan kerana usaha gigih guru dalam mendidik insan merupakan peranan yang mulia. Pembangunan diri insan yang cemerlang akan menentukan matlamat pembinaan sebuah negara yang maju dan aman akan dapat kita capai.

2. Menyedari pentingnya pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, Kementerian Pelajaran telah memilih “Guru Pembina Negara Bangsa” sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Keupayaan membina Negara Bangsa amat bergantung kepada keutuhan perkongsian nilai serta semangat patriotisme yang dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan semua lapisan rakyat, terutama dalam kalangan generasi muda. Menerusi semangat patriotisme, bangsa akan menjadi kuat, berani, mempunyai kekuatan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan negara. Nilai sosial seperti semangat kekitaan, perasaan
saling hormat-menghormati, mengamalkan sifat toleransi, taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap negara wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.

3. Matlamat kerajaan untuk membina sebuah Negara Bangsa adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia; rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1Malaysia ialah membina sebuah negara yang bersatu padu serta

menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.

4. Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuhkan. Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Oleh itu ianya perlu diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap orang. Kementerian Pelajaran akan terus menyokong pembinaan Negara Bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangssan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi.

5. Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran; serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.

6. Membina Negara Bangsa merupakan Teras Strategik yang pertama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Bagi menjayakan Teras Strategik ini, pelbagai program dan projek yang berkaitan dengan kebahasaan, kesusasteraan, patriotik, serta seni, warisan dan budaya telah dirancang oleh pihak Kementerian. Ia bertujuan untuk memperkukuh perpaduan bangsa, membina identiti nasional, memperteguh semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bagi mengisi keperluan negara. Semoga, dengan jati diri yang kental dan semangat patriotik yang tebal, akan lahirlah bangsa Malaysia yang utuh dan bermaruah.

7. Tugas membina negara bangsa melalui pendidikan tidak akan selesai. Sebaliknya ia semakin kompleks dan mencabar selaras dengan kemajuan yang tidak terbatas pada masa kini. Saya menyeru kepada semua guru supaya mempertingkatkan diri dengan ilmu dan kemahiran supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh

masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru.

8. Kepada Kerajaan Pusat, jutaan terima kasih diucapkan atas keprihatinan dan sokongan padu yang sentiasa diberi kepada Kementerian Pelajaran. Malah, dalam kemuraman ekonomi dunia yang mana Malaysia turut merasai bahangnya, kepentingan pendidikan tetap diutamakan. Suntikan RM200 juta kepada Kementerian Pelajaran dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang pertama, diikuti RM2.093 bilion lagi melalui Pakej Rangsangan Kedua merupakan bukti kukuh betapa komitednya pihak Kerajaan dalam memastikan pembangunan pendidikan terus berjalan seperti yang dirancang dan disasarkan.

9. Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan kita akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap
dikenang sepanjang hayat.

“Selamat Menyambut Hari Guru”
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat Menyambut Hari Guru.

TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN