Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Bapa Kecewa, Batu Berendam, Melaka, dalam ruangan Surat Kepada Pengarang dalam akhbar Berita Harian bertarikh 10 Mei 2010 – ‘Nasib malang pelajar kemahiran SMT”.
Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) , Kementerian Pelajaran Malaysia memandang serius terhadap dakwaan yang dilemparkan.
Sebagai memenuhi obligasi sosial / masyarakat yang sentiasa mementingkan kejayaan dalam peperiksaan untuk dikatakan berjaya dalam hidup, BPTV sebagai satu bahagian yang mentadbir Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Vokasional telah memutuskan dengan persetujuan KPM dan Jabatan Pembangunan Kemahiran yang sebelum itu dipanggil Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dan lain-lain agensi berkaitan untuk membantu murid-murid yang lemah ini dengan peluang yang selaras dengan kemampuan mereka. Maka pada tahun 1989, aliran kemahiran mula ditawarkan di Sekolah Menengah Vokasional.
BPTV semenjak mula menawarkan aliran kemahiran pada tahun 1989 telah membuat perancangan yang mantap bertujuan membantu murid-murid yang lemah dan gagal dalam peperiksaan yang dikenali sebagai Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sebelum Penilaian Menengah Rendah (PMR) diperkenalkan. Seperti mana diketahui masyarakat umum ketika itu ,jika gagal dalam peperiksaan SRP maka tersekatlah peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.
Seperti yang didakwa oleh Bapa Kecewa, sememangnya tiada korelasi yang nyata mengatakan bahawa pelajar yang lemah akademik akan meminati kemahiran. Peluang yang ditawarkan oleh BPTV melalui 68 buah Sekolah Menengah Vokasional yang menawarkan aliran kemahiran adalah satu alternatif sekiranya ibubapa dan murid ini berminat dan ingin membuat pilihan tersebut. BPTV ingin menegaskan bahawa tiada sebarang unsur paksaan dalam membuat pilihan mengikuti aliran kemahiran di Sekolah Menengah Vokasional. Pihak ibubapa juga sentiasa diberi peluang untuk memilih apa yang dianggap terbaik untuk anak-anak mereka dalam pendidikan.
Dalam hal ini, BPTV melalui SMV telah memberi panduan serta maklumat yang tepat tentang proses pengajaran dan pembelajaran serta penilaian yang akan diikuti oleh murid-murid yang memilih untuk mengikuti aliran kemahiran ketika mereka mendaftar. Bagi menjawab Bapa Kecewa tentang nasib malang pelajar dinafikan hak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan alasan sekolah bimbang keputusan peperiksaan SPM akan jatuh; perkara ini disangkal sama sekali.
Untuk menduduki Peperiksaan SPM sebagai calon sekolah murid-murid ini perlu mengambil 6 matapelajaran teras sekurang-kurangnya, untuk melayakkan mereka menduduki peperiksaan tersebut. Dalam hal ini, penyediaan ke arah peperiksaan SPM boleh dilaksanakan JIKA murid-murid kemahiran dan guru-guru terlibat melaksanakan P&P sebanyak 64 waktu seminggu di mana waktu persekolahan bagi kumpulan murid aliran kemahiran ini dan guru terlibat adalah mulai jam 7:30 pagi sehingga 6:10 petang setiap hari. Buat masa ini waktu persekolahan kumpulan murid aliran kemahiran berakhir pada jam 2:30 petang seperti murid lain-lain aliran di semua SMT/SMV.
Oleh kerana kumpulan murid ini adalah kumpulan murid berpencapaian rendah akademik maka beban seperti ini tidak wajar untuk ditanggung oleh mereka kerana mereka masih mempunyai platform yang lain untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Sememangnya, pada peringkat awal sekolah hanya membantu murid-murid aliran kemahiran mendaftarkan diri sebagai calon persendirian SPM tetapi Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, KPM ingin menegaskan bahawa Bahagian ini tidak pernah pada bila-bila masa melarang murid-murid ini untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2010 atau pada tahun-tahun sebelumnya.Semua Pengetua Sekolah Menengah Teknik atau Sekolah Menengah Vokasional telus dan faham berhubung perkara ini.
Untuk makluman , murid-murid yang ingin mengikuti kursus kemahiran adalah murid yang berpencapaian rendah akademik atau experiential learner. Sehubungan dengan itu, apabila permohonan dikemukakan dan melalui program orientasi, murid dan ibu bapa telah dimaklumkan bahawa mulai tahun 2010, bilangan waktu Pengajaran & Pembelajaran (P&P) yang mengikut kurikulum SKM akan menekankan aspek-aspek ’hands-on ’ yang mana sebanyak 36 waktu akan diajar matapelajaran dan praktikal kursus yang diambil termasuk 1 matapelajaran teras Bahasa Melayu (Kertas SPM) dan 3 mata pelajaran tahap asas secara Pentaksiran Berasaskan Sekolah iaitu Asas Matematik, Pendididikan Islam/Pendidikan Moral dan Basic Communication – Bahasa Inggeris. Murid-Murid ini akan menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan Tahap 2 selepas 2 tahun pengajian selama di SMV .
P&P sebegini disedia bagi mempastikan murid-murid yang lemah dalam akademik akan memperolehi kemahiran yang tinggi dalam kursus yang dipilih . Mereka juga perlu disediakan untuk mengambil peperiksaan yang ditetapkan. Dalam hal ini, penyediaan yang dilakukan adalah untuk peperiksaan SKM memang dilaksanakan dengan terperinci.
Sehubungan dengan itu, pihak sekolah selama ini telah membantu murid-murid ini untuk menduduki peperiksaan SPM sebagai calon persendirian kerana keperluan bilangan matapelajaran sebagai calon sekolah adalah seperti yang dinyatakan iaitu 6 matapelajaran teras. Sekali lagi ditegaskan bahawa pihak BPTV mahupun SMT/SMV tidak pernah menghalang murid-murid aliran kemahiran untuk menduduki peperiksaan SPM, cuma mereka diurus untuk mendudukinya sebagai calon persendirian akibat kekangan waktu , beban P&P yang perlu dihadapi semasa di sekolah sekiranya ia dilaksanakan.
Untuk makluman , ada beberapa SMV pada tahun-tahun yang lalu yang telah mendaftarkan murid kumpulan ini sebagai calon sekolah dan mereka terpaksa mengikuti kelas-kelas tambahan pada waktu malam dan petang sebagai persediaan.
Sehubungan dengan itu, BPTV berpandangan nasib dan masa depan murid-murid ini terjamin dengan pendidikan dan latihan kemahiran yang telah diberikan. Ia juga bertujuan supaya murid-murid yang tahap pencapaiannya rendah dapat mencari pekerjaan . Dengan kelulusan SKM Tahap 1 dan 2 murid-murid ini boleh melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi seperti Institut Kemahiran MARA (IKM), Institusi Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Komuniti untuk mendapat tahap kelulusan yang lebih tinggi.
Bahagian akur bahawa setiap murid yang didaftarkan di sekolah boleh dipelawa untuk menduduki peperiksaan SPM. BPTV dan semua SMT/SMV di bawah pentadbiran Bahagian ini juga memahami keinginan untuk menduduki peperiksaan SPM ada pada setiap murid dan ibu bapa. Ini adalah kerana keputusan yang baik dalam peperiksaan tersebut boleh menjamin masa depan yang selesa dari segi melanjutkan pelajaran mahupun menceburi bidang pekerjaan umum serta berkhidmat dengan kerajaan.
Untuk memaksa murid berpencapaian lemah dalam akademik seperti ini mengikuti arus perdana adalah tidak adil kerana keupayaan mereka bukanlah seperti murid lain. Peluang harus diberikan melalui laluan yang berbeza untuk mereka sama-sama mengecapi kejayaan dalam hidup seperti orang lain.
Sebagai maklumat tambahan, dengan menawarkan aliran Kemahiran di SMT/SMV dan tidak memaksa murid menduduki peperiksaan utama iaitu SPM, BPTV hanya berpegang kepada prinsip utama Pendidikan Teknik dan Vokasional tersebut iaitu menyediakan peluang alternatif dalam pendidikan serta bagi menggelakkan berlaku keciciran. BPTV juga bersifat dinamik, di mana setelah mengambilkira pandangan semua pihak maka mulai tahun 2010 semua murid Tingkatan 5 Aliran Kemahiran 2010 didaftarkan sebagai calon sekolah untuk peperiksaan SPM.
Adalah ditegaskan , sebarang keputusan dalam mendidik anak-anak yang memilih untuk mengikuti aliran kemahiran dilakukan tanpa prejudis dan berpegang teguh kepada Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan yang pastinya ”for the best interest of the students themselves” atau untuk kepentingan dan keperluan membentuk generasi yang mampu bersaing dalam pelbagai keadaan walaupun pada dasarnya kemampuan mereka berbeza.
Unit Komunikasi Korporat,
Kementerian Pelajaran Malaysia.