STPM 2019: Pencapaian SMK Muhibbah meningkat

SANDAKAN: Pencapaian SMK Muhibbah dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2019 meningkat berbanding dengan tahun 2018.

Ia berikutan keputusan STPM tahun lepas menyaksikan 100 peratus kelulusan dan seorang pelajarnya telah mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 manakala tiga lagi pelajar mendapat PNGK 3.92.

Sementara 23 pelajar juga turut mendapat PNGK 3.00 dan ke atas.

Dalam pada itu, Gred Purata Sekolah (GPS) STPM 2019 meningkat 0.02 berbanding GPS STPM 2018. SMK Muhibbah tersenarai dalam kategori ke – 3 bagi bilangan calon 100 dan ke atas dalam senarai 10 sekolah terbaik di Sabah.

Pencapaian SMK Muhibbah ini diumumkan pada satu Majlis Penyampaian Keputusan STPM 2019 yang telah diadakan di Dewan Terbuka sekolah itu, kelmarin.

Sementara itu, Kolej Tingkatan 6 Datuk Pengiran Galpam Sandakan sekali lagi mencatat sejarah kecemerlangan dalam keputusan STPM 2019 yang diumumkan kelmarin.

GPS menunjukkan sedikit kenaikan sebanyak 0.08 iaitu 2.73 pada tahun 2019 berbanding dengan 2.65 pada tahun 2018.

Peratus lulus keseluruhan pada tahun 2019 adalah sebanyak 98.8 peratus berbanding dengan 99.2 peratus tahun 2018.

Seramai 93 calon daripada 257 calon telah mendapat PNGK sekurang-kurangnya 3.00.

Bilangan tersebut menunjukkan peningkatan seramai 7 orang berbanding dengan tahun 2018 (85 orang). Tiga pelajar aliran Kemanusiaan mencapai keputusan cemerlang dengan pencapaian PNGK 4.00.

Mereka ialah Mohd Alfian Alam, Muhammad Kurniawan Abdul Hamid dan Meharaj Jagubar. Mata pelajaran yang diambil termasuklah Pengajian Am, Sejarah, Geografi dan Ekonomi.

Selain itu, tiga pelajar terbaik Aliran Sains ialah Ko Yu Yun dengan PNGK 3.75 (2A, 1A-, 1B+) dan Alexander Yapp Cheng Hao serta Siew Sui Siong dengan masing-masing memperoleh pencapaian PNGK 3.67 (1A, 2A-, 1B+) dan 3.67 (2A, 2B+).

Pengetua Kolej berkenaan, Haji Hussein Abdul Manaf merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua calon STPM 2019 kerana telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dan tidak dilupa kepada semua pensyarah yang telah bertungkus-lumus dalam membantu pelajar membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan.

“Selaku Kolej Tingkatan 6, pihak kolej telah merangka dan menjalankan pelbagai program bagi memperkasa dan mengukuhkan pemahaman pelajar terhadap silibus yang diajar.

“Antaranya, program Mentor-mentee, Modul Mata Pelajarandan Kolokium Mata Pelajaran. Tanpa komitmen semua pihak termasuk ibu bapa, sudah pasti kecemerlangan pada hari ini tidak dapat dikecapi.

“Oleh itu, pihak kolej mengharapkan agar keputusan pada tahun 2019 menjadi pemangkin untuk kecemerlangan pada masa hadapan,” kata Hussein.

by ROZZALIN HASHIM.

Read more @ http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/37013

Comments are closed.