Kaji Pendidikan Moral?

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Yung Siew Fong, Kajang, Selangor” dalam ruangan Surat Kepada Pengarang (Utusan Malaysia bertarikh 24 April 2010 – Kaji Pendidikan Moral?

Pendidikan Moral merupakan mata pelajaran teras untuk murid bukan Islam mengikut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Mata pelajaran Pendidikan Moral yang diperkenalkan kepada murid-murid bukan Islam di peringkat sekolah rendah dan menengah bertujuan untuk membentuk insan yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan boleh menyumbang ke arah keharmonian dan kestabilan negara serta masyarakat global.

Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral KBSR dan KBSM yang sedia ada, isu-isu sosial dibincangkan oleh guru yang mengajar mata pelajaran ini. Antara isu sosial yang dibincangkan adalah seperti pencegahan dadah, anti-rokok, vandalisme, gengsterisme/kongsi gelap, penderaan, bahan media berunsur lucah (pornografi), gangguan seksual, lumba haram, pergaulan bebas, seks luar nikah/pelacuran, pencegahan HIV/AIDS, salah laku penggunaan ICT dan gejala sosial/jenayah semasa.

Melalui isu-isu di atas, murid-murid didedahkan tentang masalah, kesan dan akibat serta undang-undang yang berkaitan dengannya. 24 nilai murni dalam Pendidikan Moral di peringkat KBSR dan 36 nilai murni dalam Pendidikan Moral di peringkat KBSM yang berkaitan dengan isu-isu tersebut diajar berulang kali agar mereka lebih memahami dan menghayati kesan dan akibat sekiranya terlibat dengan isu-isu tersebut. Isu-isu ini dibincang bagi memberi kefahaman dan kesedaran kepada murid agar mereka menghindarkan diri daripada terlibat dengan gejala tersebut. Menerusi pembelajaran Pendidikan Moral diharap dapat membentuk jati diri murid yang kental dan menjadi warga negara Malaysia yang berakhlak mulia.

Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Comments are closed.